suria

"Jika Kerana Pendirian Dalam Isu 1MDB Saya Digugurkan, Saya Reda" - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet pada Selasa, menerima keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan hati terbuka.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Najib, kecuali dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya menghormati kuasa prerogatif perdana menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet.

"Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

"Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Muhyiddin berkata beliau bagaimanapun akan meneruskan perjuangannya dalam parti sebagai timbalan presiden dan selebihnya berserah kepada Allah.

"Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan Umno. Sebagai timbalan presiden Umno, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno.

"Kepada Allah saya berserah," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana telah memberikan peluang untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai timbalan perdana menteri bermula 10 April 2009.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri," katanya.

Najib, ketika membuat pengumuman tersebut menegaskan rombakan Kabinet dilakukan bagi memperkukuhkan barisan Jemaah Menteri dalam membantu kerajaan menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, keputusan  menggantikan Muhyiddin dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah satu keputusan sukar tetapi terpaksa dilakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

Dalam rombakan itu, Najib turut menggugurkan empat lagi menteri dan seorang timbalan menteri selepas mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran negara.

Artikel Lain