suria

Bekas Pengetua Sekolah & MB Kedah Kini Menteri Pendidikan Yang Baru Ganti Muhyiddin

Datuk Seri Mahdzir Khalid daripada seorang bekas pengetua sekolah kepada menteri pendidikan yang baru.

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan yang baru, Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah merupakan bekas menteri besar Kedah yang ke-9 yang berkhidmat selama satu penggal dari 28 Disember 2005 sehinggalah 8 Mac 2008.

Beliau mengantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah yang diguggurkan kerana tidak sihat.

Bagaimanapun selepas pilihan raya 2008, pentadbiran kerajaan negeri Kedah dirampas oleh PAS dan jawatan menteri besar disandang oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak (kini telah pun meninggal dunia).

Sejak 16 Mei 2013 sehinggalah rombakan kabinet diumumkan pada Selasa, Mahdzir adalah timbalan menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Sebelum menyandang jawatan itu beliau adalah timbalan pengerusi Penggalakan Pelancongan Malaysia (sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia).

Dalam pilihan raya yang lalu, beliau bertanding di kerusi Parlimen Padang Terap dan menang.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena dan meneruskan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, Alor Star, Kedah, Mahdzir membuktikan keupayaannya sebagai pelajar yang cemerlang apabila terpilih melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia pada tahun 1980 dan tamat belajar pada 1984 dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (dengan kepujian).

Pelantikannya sebagai menteri pendidikan yang baru dilihat sebagai kena pada tempatnya.

Ini berasaskan latarbelakang kerjayanya yang pernah berkhidmat sebagai guru dan juga pegawai pendidikan negeri selama beberapa tahun.

Setelah menamatkan pengajian, beliau berkhidmat sebagai pegawai pendidikan Negeri Sabah sehinggalah dilantik sebagai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gadong, Beaufort, Sabah.

Beliau kemudiannya kembali ke Kedah pada tahun 1993 untuk menyertai pentadbiran kerajaan negeri sebagai pegawai khas kepada menteri besar Kedah ketika itu, Tan Sri Osman Aroff. Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah seranta di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi mulai tahun 1998 hingga tahun 2000.

Kemudian pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi sehingga Mac 2004.

Pada pilihan raya umum 2004, Mahdzir melepaskan jawatannya sebagai setiausaha politik perdana menteri untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Pedu, Kedah.

Selepas memenangi kerusi DUN berkenaan, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman (EXCO) mulai 28 Mac 2004 dan diamanahkan Potfolio Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Koperasi Negeri.

Apabila Syed Razak bercuti sakit, Mahdzir telah diberi kepercayaan untuk memangku jawatan menteri besar Kedah selama tiga bulan mulai 17 Julai 2005 hingga 16 Oktober 2005.

Tempoh pemangkuan tersebut dilanjutkan lagi selama tiga bulan sehingga 16 Januari 2006 dan atas kepercayaan perdana menteri, Mahdzir dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke‑9 pada 28 Disember 2005.

Beliau juga adalah ketua Ummo Bahagian Padang Terap dan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Artikel Lain