suria

Buli Siber, Pornografi, Pengemis Kanak-Kanak Disenarai Dalam Akta Kanak-Kanak Baharu

Muhyiddin (tengah) bergambar bersama sebahagian tetamu yang menghadiri majlis meraikan golongan sasar Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sempena Aidilfitri hari ini. Turut hadir Rohani (tiga,kanan) dan Nancy (kiri). Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Buli siber, pornografi dan aktiviti mengemis melibatkan kanak-kanak akan menjadi satu kesalahan yang akan disenaraikan di bawah Akta Kanak-Kanak yang baru.

Rang Undang-Undang ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penambahan kesalahan itu mengikut peredaran semasa dengan membuat lebih banyak pindaan yang akan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang digunakan ketika ini.

Menurutnya, Rang Undang-Undang ini akan mengambil kira perkara berkaitan isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak serta perlindungan dan kesejahteraan bagi kumpulan itu.

"Ini termasuk yang melibatkan buli siber menerusi Internet di mana Akta 2001 tidak ada semua ini. Kesalahan berhubung pornografi kanak-kanak dan pengemis kanak-kanak akan turut dimasukkan dalam akta baharu ini.

“Ini juga melibatkan pengabaian dan penderaan ibu bapa yang semakin berleluasa. Kami merasakan ia perlu diperkukuhkan supaya adanya tindakan dapat diambil,” katanya pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, Isnin.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Januari lalu, Rohani berkata, pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 akan ditukarkan kepada akta baharu setelah pindaan yang akan dilakukan melibatkan lebih 70 peratus dalam kandungannya.

Menurut Rohani, kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak bukan tidak pernah berlaku sebelum ini cuma ia kini mempunyai kesedaran lebih tinggi di kalangan masyarakat untuk membuat laporan mengenainya. 

Ditanya mengenai hukuman lebih berat menerusi akta baharu itu, beliau memberitahu perkara berkenaan akan diteliti dan diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara. 

“Kami menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara dan akan berusaha untuk memastikan pembentangan akta tersebut dapat dilakukan pada tahun ini. Jika ia dapat dibuat, akta ini akan dinamakan sebagai Akta Kanak-Kanak 2015,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rohani berkata, insiden kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dan dilarikan di Subang Jaya pada malam Sabtu kini menjadi kes polis.

“Kita kena tunggu siasatan polis dahulu, kita tak boleh campur tangan,” katanya ketika ditanya adakah bapa kanak-kanak terbabit akan dikenakan tindakan kerana kecuaian sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.

Dilaporkan, kanak-kanak tersebut bagaimanapun ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam pada awal pagi Ahad.

Terdahulu, kereta yang dinaiki kanak-kanak itu ditinggalkan bapanya dalam keadaan enjin masih hidup untuk memanggil ibu mangsa yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah.

Artikel Lain