suria

Nelayan Sempat Hubungi Majikan Sebelum Bot Karam

Mohd Jaafar menunjukkan gambarnya dan dua lagi rakan yang berpaut pada pelampung selepas bot mereka karam kira-kira 6.30 petang Ahad, dua batu nautika dari Kuala Jerlun ketika ditemui di Kampung Ulu, Kuala Kedah pada Isnin. Mereka bertiga diselamatkanAPMM pada pukul 7.30 malam Ahad. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Tiga nelayan yang diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sempat menghubungi majikan sebelum bot mereka karam kira-kira dua batu nautika dari Kuala Jerlun, petang Ahad.

Seorang daripada mangsa, Mohd Jaafar Saad, 49, berkata kejadian berlaku pada 6.30 petang selepas bot pukat tunda yang diperbuat daripada kayu itu bocor pada bahagian belakang.

Mohd Jaafar berkata, beliau meryedari bot mereka dimasuki air sebelum memberitahu tekong bot Adnan Zainol, 48, dan seorang lagi rakan Muhammad Abdullah, 50-an, untuk membuang air yang masuk ke dalam bot itu.

Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata tekong bot cuba menghidupkan enjin bot untuk ke jeti pendaratan ikan terdekat tetapi enjin bot rosak kerana dimasuki air.

"Kami sempat hubungi 'tauke' bot memberitahu lokasi bot berada sebelum bot karam. Kami pakai jaket keselamatan dan menggunakan pelampung pukat ikan untuk terus terapung selepas bot karam," katanya ketika ditemui media di rumahnya di Kampung Ulu, Kuala Kedah pada Isnin.

Mohd Jaafar yang bekerja sebagai nelayan sejak 36 tahun lalu bersyukur dan gembira apabila melihat bot APMM datang menyelamatkan mereka selepas berada di lautan selama satu jam.

Katanya mereka bertiga tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.

"Kami semua alami kesejukan sahaja disebabkan terlalu lama dalam laut dan tidak alami kecederaan serius. Kami semua bersyukur kerana bantuan cepat sampai untuk menyelamatkan kami semua," katanya.

Beliau berkata, mereka bertiga keluar ke laut pada petang Sabtu lepas dan berjaya  memperoleh hasil tangkapan ikan sebanyak 1,000 kilogram dan sepatutnya pulang semula ke jeti pendaratan ikan di Kuala Kedah, Rabu ini.

Ketua Penguatkuasa APMM Kuala Kedah Ahmad Kamal Mohd Noor ketika dihubungi berkata maklumat mengenai bot karam diteima pihaknya pada pukul 6.50 petang daripada APMM Wilayah Utara.

Beliau berkata pada 7.30 malam pasukan APMM menemukan ketiga-tiga nelayan itu yang berpaut pada pelampung dan tong ikan.

APMM, bot karam

Artikel Lain