suria

Hak Jaga Anak Diserah Kepada Pasangan Berkemampuan - Dr Mohd Asri

Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa yang menyatakan hak penjagaan anak diserahkan kepada pasangan yang lebih layak tanpa mengira agama mereka.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata jawatankuasa tersebut mendapati adalah tidak adil untuk menentukan hak penjagaan anak semata-mata berdasarkan agama ibu bapa kerana keseluruhan kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu menjadi keutamaan.

Katanya, fatwa tersebut boleh memberi isyarat kepada titik perubahan dalam kes hak penjagaan anak dibicarakan di Mahkamah Syariah terutama kes membabitkan ibu bapa apabila mereka memeluk agama Islam.

"Keseluruhan kebajikan kanak-kanak termasuk keperluan fizikal, moral dan emosi mereka. Ibu bapa yang lebih berkemampuan menyediakan keperluan ini perlu mendapat hak penjagaan sama ada mereka Islam atau tidak," kata Dr Mohd Asri kepada The Star.

Beliau berkata mahkamah perlu mengadili pasangan yang lebih sesuai dengan mengkaji latar belakang dan corak kehidupan mereka selain mengambil kira pilihan kanak-kanak.

"Jika kedua-dua pasangan mampu menjaga kanak-kanak itu, maka kanak-kanak berhak memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa mereka," katanya.

Dibawah perintah ini, pasangan yang beragama Islam masih wajib untuk memperkenalkan agama itu kepada anak-anak sama ada mereka mendapat hak penjagaan atau tidak.

Namun, Dr Mohd Asri berkata agama tidak boleh dipaksa ke atas mereka.

Jawatankuasa Fatwa itu juga memutuskan bahawa hak penjagaan perlu diberikan secara automatik kepada ibu sekiranya masih menyusukan anak tersebut.

"Jika kanak-kanak itu tidak lagi menyusu badan dan belum matang, maka hak penjagaan perlu diberikan kepada pasangan yang lebih layak atau seseorang yang rapat dengan kanak-kanak itu," kata Dr Mohd Asri.

Fatwa terbaharu itu, katanya, merupakan perubahan dalam amalan semasa dalam Mahkamah Syariah dimana agama merupakan faktor utama dalam menentukan pertikaian dalam hak penjagaan anak.

"Kes yang sering berlaku pada hari ini adalah kedua-dua pasangan bukan Islam dan apabila salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam. Jika dibicarakan di Mahkamah Syariah, maka hak penjagaan diberikan kepada pasangan yang beragama Islam.

"Ini sebenarnya tidak tepat, kerana tidak ada asas bagi keputusan tersebut sama ada dalam al-Quran atau hadis," katanya.

Fatwa yang diluluskan Majlis Agama Islam Perlis (Maips) itu baru-baru ini juga menjadi panduan umum kepada pasangan beragama Islam yang sering rasa bersalah kerana menyerahkan hak penjagaan anak kepada pasangan bukan Islam.

"Kami mengeluarkan fatwa ini untuk memaklumkan mereka bahawa bukan menjadi satu dosa apabila memberikan hak penjagaan kepada pasangan bukan Islam terutama jika individu itu lebih berkemampuan untuk menjaga kanak-kanak itu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain