suria

MH17: Tidak Ada Kes Duluan Untuk Tubuhkan Tribunal Antarabangsa - Duta Rusia

KUALA LUMPUR: Tidak terdapat kes duluan bagi menubuhkan tribunal antarabangsa untuk membawa pihak bertanggungjawab dalam tindakan keganasan terhadap pesawat awam ke muka pengadilan, kata Duta Rusia di Malaysia, Valery Yermolov.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah negaranya menolak draf tribunal yang dicadangkan oleh negara yang terlibat dalam siasatan jenayah bebas terhadap tindakan menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas.

Lima negara iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine telah menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) menubuhkan tribunal jenayah bagi mendakwa pihak yang bertanggungjawab terhadap perbuatan menembak pesawat awam itu.

"Tidak ada tribunal antarabangsa pernah ditubuhkan atas keadaan yang serupa...tidak semasa syarikat penerbangan Rusia Air Company Sibir ditembak jatuh pada 2001 oleh tentera Ukraine di Laut Hitam, tidak ada juga semasa Tentera Laut Amerika Syarikat menembak jatuh Penerbangan IR-655 Iran Air di Teluk Parsi pada 3 Julai 1988," katanya.

Yermolov berkata pada sidang media mengenai Tragedi MH17: Setahun Tanpa Kebenaran di Kedutaan Rusia di sini, Jumaat.

Beliau berkata, isu penubuhan tribunal antarabangsa berkaitan malapetaka MH17 bersifat pramatang dan tidak produktif.

"Kami tidak fikir ia suatu yang munasabah untuk menubuhkan satu lagi forum untuk spekulasi apabila masih belum ada hasil siasatan dan tidak ada perspektif jelas bila masanya untuk kita perlu ada (tribunal).

"Kami beranggapan adalah logik dan perlu untuk menunggu keputusan rasmi hasil siasatan yang dijalankan tanpa memihak dan profesional," katanya.

Justeru, beliau berkata Rusia tidak akan terlibat dengan kerja tekstual dalam draf resolusi penubuhan tribunal antarabangsa atau draf cadangan piagam.

"Pada masa sama kami harap rakan kami memahami pendirian kami dan menyokong penyempurnaan siasatan secara telus yang akan menjadi asas kukuh untuk mengenal pasti formula perbicaraan sesuai," katanya.

Baru-baru ini, Malaysia telah membentangkan draf resolusi kepada UNSC mengenai penubuhan tribunal, usul yang mendapat sokongan Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine.

Dilaporkan bahawa Rusia telah menolak tribunal tersebut, yang kemudiannya mengemukakan draf resolusi alternatif kepada UNSC bagi menghalang penubuhan tribunal yang akan mendakwa pihak bertanggungjawab menembak jatuh MH17.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terbunuh apabila pesawat itu ditembak di ruang udara Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas.-- Bernama




MH17, Duta Rusia

Artikel Lain