suria

Bukit Jalil Dibanjiri Lebih 80,000 Pengunjung Tonton Big Bang, Liverpool

Ribuan penyokong Liverpool membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan pasukan itu dengan Pilihan Malaysia, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Dendangan lagu rasmi kelab Liverpool, 'You'll Never Walk Alone' berkumandang dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) menyuntik semangat peminat sebelum menyaksikan perlawanan pasukan itu dengan pasukan pilihan Malaysia Jumaat malam.

Lagu nyanyian Gerry  and  The Pacemakers dinyanyikan peminat pasukan itu dalam tren tersebut yang mula dinaiki mereka seawal 4 petang tadi untuk menyaksikan perlawanan persahabatan itu di Stadium Bukit Jalil, di sini.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa stesen LRT Laluan Ampang yang menghala ke Bukit Jalil juga telah mula dibanjiri peminat pasukan Liverpool dan juga beberapa peminat kumpulan K-Pop Korea Selatan, yang turut menuju ke Bukit Jalil untuk menyaksikan konsert kumpulan Big Bang.

Laluan trafik di perkarangan Bukit Jalil juga telah mula sesak dengan ribuan kenderaan berpusu-pusu masuk ke kawasan Stadium Bukit Jalil.

Dijangka lebih 80,000 orang akan membanjiri Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan juga persembahan konsert K-Pop dari kumpulan Big Bang di Stadium Putra Bukit Jalil.

Menurut laporan media, kira-kira 60,000 tiket perlawanan bola sepak itu telah habis dijual oleh pihak penganjur dua hari lepas, manakala tiket konsert Big Bang pula telah habis dijual, dengan kapasiti Stadium Putra Bukit Jalil mampu menampung lebih 18,000 orang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman kehadiran kedua-dua acara itu yang akan berlangsung hampir serentak tidak akan menimbulkan sebarang masalah ekoran perkarangan Bukit Jalil sendiri pernah dibanjiri lebih 100,000 pada perlawan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Johor tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, anggota polis juga telah bersiap siaga untuk mengawal keselamatan di Bukit Jalil.

Katanya, kawalan keselamatan di dalam dan luar kedua-dua stadium telah diperketat, dan kekuatan anggota juga telah diperincikan untuk mengawal lebih 100,000 orang.

"Jangan risau, anggota saya telah bersedia, dan saya yakin kami akan menjaga keselamatan di kawasan itu dengan baik, lagi pun kedua-dua penganjur turut mempunyai pasukan keselamatan mereka sendiri yang mengawal perjalanan acara dengan lancar," katanya ketika dihubungi.-- Bernama

Liverpool, Big Bang, Bukit Jalil, LRT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain