suria

Empat Individu Dihalang Ke Luar Negara

-Gambar hiasan
PETALING JAYA: Buat pertama kali, seorang bekas pegawai utama 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dihalang daripada meninggalkan negara ini.

Semakan di laman web Jabatan Imigresen menunjukkan bahawa Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, 44 yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB merupakan antara mereka yang disekat ke luar negara.

Nik Faisal tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB dan telah diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2012.

Individu lain yang dihalang ke luar negara adalah pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong, Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli.

Pemeriksaan menunjukkan bahawa Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB bebas untuk ke luar negara.

Beliau memegang jawatan pengarah urusan apabila Nik Faisal menjawat jawatan ketua pegawai pelaburan.

Nik Faisal pada satu ketika turut dilaporkan menjadi pengarah eksekutif pelaburan bagi UBG Bank, yang sebelum ini dikenali sebagai Utama Banking Group.

UBG akhirnya diambil alih oleh sebuah syarikat di mana Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah seorang ahli lembaga.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, beliau hanya boleh membuat spekulasi bahawa sekatan terhadapnya mempunyai kaitan dengan kritikan terhadap 1MDB dan dakwaan konspirasi oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pegawai-pegawai Imigresen berkata mereka tidak tahu mengapa saya dihalang, kecuali ia adalah arahan daripada peringkat atasan.

"Setahu saya, saya tidak melakukan jenayah dan tidak mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dalam mana-mana isu berkaitan 1MDB," katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti itu, Rabu.

Pua dijadual menaiki penerbangan pada pukul 3.15 petang ke Yogyakarta, Indonesia, dari KLIA2 apabila beliau ditahan oleh pegawai Imigresen.

Beliau mengulangi bahawa beliau tidak pernah berjumpa Lester Melanyi, orang yang menuduhnya bersubahat dengan beberapa yang lain untuk mengubah dokumen 1MDB dan tidak juga bertemu bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Justo.

Beliau bagaimanapun mengakui bertemu Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di Singapura, London dan Malaysia, tetapi berkata: "Apa sahaja (dokumen) yang saya dapat, ia adalah apa yang Clare siarkan di Sarawak Report."

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata beliau telah memeriksa statusnya dengan Jabatan Imigresen dan mendapati ia sama dengan Pua.

Artikel Sebelum

Artikel Lain