suria

Kesilapan Letak Gambar Pereka Web Dalam Video Diakui

Ramesh Rao.

PETALING JAYA: Dua individu di sebalik pendedahan video yang mendakwa terdapat pemalsuan dokumen digunakan dalam laporan Sarawak Report berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dapat memberi penjelasan mengenai gambar yang kononnya adalah pereka laman web yang membuat pemalsuan itu dimasukkan ke dalam video berkenaan.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao menyedari kesilapan itu berlaku apabila menggunakan gambar pengurus stesen kereta api Britain dan bukannya, James Steward Stephen yang didakwa bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi sebagai pereka laman web itu yang memalsukan maklumat mengenai 1MDB.

"Saya mungkin terlepas pandang mengenai gambar itu, atau mungkin dia (Lester) terlepas pandang tentang gambar tersebut. Saya tidak tahu siapa yang memasukkan gambar itu ke dalam video," katanya.

"Kami agak tergesa-gesa, semua kelam-kabut. Saya tidak tahu siapa yang buat silap."

Ramesh berkata, beliau yang membuat carian di laman web bagi mendapatkan gambar Stephen dan berkata: "Saya membuat carian 'James Stephen' dan UK IT expert (pakar teknologi maklumat United Kingdom)' kerana dia merupakan sebahagian daripada komuniti IT UK."

Bagaimanapun, kenyataannya bercanggah apabila beliau mengatakan Lester menunjukkan salah satu gambar itu dan dikenal pasti sebagai Stephen.

"Kami gunakannya dalam video itu," kata Ramesh.

"Saya tidak melihat dia (Stephen) sebelum ini, apa yang dia (Lester) katakan, saya perlu terima," tambahnya.

Kenyataannya turut bercanggah dengan apa yang diperjelaskan oleh Lester kepada The Star pada Selasa.

Lester mendakwa bahawa dia tidak mengetahui bagaimana gambar tersebut dimasukkan ke dalam video itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Ramesh berkata: "Mungkin saya salah, mungkin dia salah. Penglihatan Lester tidak begitu baik".

Walaupun menyedari kesilapan itu, Ramesh menegaskan bahawa pereka laman web, Stephen yang merupakan individu yang memalsukan dokumen itu adalah benar, dan menunjukkan beberapa emel antara Lester dan Stephen bertarikh 3 Julai 2015 sebagai bukti.

"Terdapat rundingan yang panjang antara Lester dan James Stephen yang kami tidak dapat dedahkan terlalu banyak, saya biarkan polis mengendalikannya," katanya.

Ramesh berkata, beliau masih percaya pengakuan Lester boleh dipercayai, dan menunjukkan beberapa rakaman berita mengenai temuramah berhubung pejabat Sarawak Report di London.

Video itu menunjukkan Lester sedang melakukan kerja menggunakan komputer di sebelah pengarah Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Beliau berkata, ia merupakan bukti bahawa Lester menyunting artikel-artikel Sarawak Report semasa berkhidmat dengan syarikat itu.

Ramesh bagaimanapun tidak dapat menjawab ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui Lester sedang membuat suntingan seperti yang ditunjukkan di dalam video itu.

Ramesh berkata, Lester akan menyertainya dalam satu sidang media bersamanya minggu depan berhubung bahagian ketiga video pengakuan itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain