suria

Saya Tiada Kuasa Pecat Pua - Pandikar

Pandikar Amin Mulia

PETALING JAYA: Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk memecat keanggotaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Tegas Speaker Dewan Rakyat itu, kedudukan seseorang ahli dalam mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen ditentukan oleh keseluruhan ahli Dewan Rakyat.

“Saya tak ada kuasa untuk pecat sesiapa dalam jawatankuasa, tak ada peruntukan untuk Speaker pecat sesiapa pun. Sebaliknya hanya Majlis dan ketika Majlis sedang bersidang berhak untuk tentukan siapa yang akan dikekalkan atau siapa yang nak dikeluarkan daripada sesebuah jawatankuasa.

“Tak ada kuasa pada Speaker,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri di Parlimen di sini, Rabu.

Bagaimanapun jelas Pandikar Amin, ahli sesebuah jawatankuasa boleh meletak jawatan jika merasakan mereka gagal untuk memainkan peranan dengan baik selepas dipilih Majlis.

"Jika dalam tempoh berkenaan (perkhidmatan) ada ahli yang nak letak jawatan, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa.

“Kedudukanya akan diganti dan ia perlu melalui sidang Dewan. Jadi maknanya hanya Majlis yang ada kuasa (untuk pecat atau lantik),” katanya.

Beliau mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak termasuk Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad yang mahu Pua meletak jawatan daripada PAC berikutan integritinya dalam jawatankuasa bebas itu dipersoalkan.

Terbaharu, Pua didakwa sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang mengadakan pertemuan dengan bekas Eksekutif Petrosaudi International Ltd, Xavier Andre Justo di Singapura.

Sebelum ini, laporan menyebut bahawa terdapat pemimpin pembangkang yang mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Justo juga dilaporkan bertemu dengan pemilik media negara ini di Singapura sebelum warga Switzerland itu ditahan di Thailand pada 22 Jun lalu.

Diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Pua mengadakan pertemuan dengan Justo, Pandikar Amin bagaimanapun berkata: “Saya tak boleh komen. Kalau beliau (Pua) bercakap dalam Dewan... saya boleh respon.

“Tapi ini isu politik. Jangan libatkan saya, saya tak ada kaitan."


Artikel Lain