Langkah Sekat Sarawak Report Silap Besar, 'Makan Diri' - PAS - Semasa | mStar

Langkah Sekat Sarawak Report Silap Besar, 'Makan Diri' - PAS

Tuan Ibrahim Tuan Man

PETALING JAYA: PAS berpendapat, pihak yang menganggap Sarawak Report menyebarkan fitnah terhadapnya perlu menfailkan saman bukan menyekat laman web itu.

Kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu, tindakan menyekat laman Sarawak Report bakal 'memakan diri' kerajaan Malaysia kerana ia akan menyemarakkan keinginan ramai untuk membaca apa yang dipaparkan.

Malahan, parti itu juga berpendapat, langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu juga satu kesilapan besar kerana ia akan menyebabkan rakyat lebih percayakan Sarawak Report berbanding kerajaan.

"Di alam internet hari ini, sekatan itu tidak akan menjadi efektif.

"Kedua, alasan yang mengatakan laman itu mengganggu “kestabilan negara” itu tidak betul kerana yang mengganggu "kestabilan negara" ialah masalah 1MDB dan cara 1MDB melangsaikan hutangnya.

"Selepas Tabung Haji, KWSP, KWAP kini TNB pula muncul untuk berniaga dengan 1MDB dengan cadangan membeli 13 aset tenaga 1MDB. Apakah rakyat akan menanggung kos perniagaan ini melalui bayaran tarif elektrik yang lebih tinggi selepas ini," soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Isnin.

Kata Tuan Ibrahim lagi, bagi menjamin kestabilan negara, sepatutnya Pasukan Petugas Khas yang menyiasat 1MDB harus mengemukakan tarikh untuk menyiapkan siasatan secepat mungkin, malah menjamin bahawa hasil siasatan akan dibentang secara awam.

"Saya berharap kes penangkapan bekas pengarah PetroSaudi International Xavier Andre Justo yang menyebabkan terbangkitnya isu penjualan maklumat palsu mengenai 1MDB bukanlah alasan untuk melengah-lengahkan atau menghentikan siasatan yang sedang dibuat Pasukan Petugas Khas pada akhirnya," katanya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menyaman WSJ kerana tempoh 14 hari yang diberikan bermula 8 Julai untuk menuntut penjelasan akan tamat dua hari lagi.

"Jika Najib tidak jadi menyaman WSJ, maka Najib perlu bercuti dengan kadar segera," katanya lagi sambil menyarankan presiden Umno itu menunaikan ibadah umrah.


Artikel Sebelum

"Saya Bertemu Justo" - Lester Melanyi

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Rakyat Pahang terima Sultan baharu