suria

Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjut Sehingga 5 Ogos

KOTA KINABALU: Fasa ke-22 perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir Isnin, dilanjutkan ke fasa ke-23 hingga 5 Ogos, berkuat kuasa dari jam 7 malam hingga 5 pagi, Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan melanjutkan perintah berkurung yang merangkumi perairan enam daerah di Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan di kawasan berkenaan serta atas permintaan banyak pihak.

Dalam kenyataan di sini, Isnin, beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pendedahan maklumat mengenai ancaman daripada Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf yang masih cuba menceroboh, sekali gus melakukan jenayah rentas sempadan termasuk menculik serta samun bersenjata.

"Ini bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan pantai timur selain menjamin keselamatan pelancong serta rakyat Sabah di daratan Esszone," katanya.

Beliau berkata, perlanjutan itu juga bagi memudahkan anggota keselamatan melaksanakan penguatkuasaan, termasuk memantau segala pergerakan bot yang mencurigakan serta menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Menurut Jalaluddin perintah berkurung itu juga dilanjutkan kerana mendapat sokongan pengusaha chalet dan masyarakat yang menjalankan aktiviti perikanan serta demi menjamin keselamatan perairan termasuk di pulau persempadanan.

Jalaluddin berkata kuasa juga diberi kepada semua Ketua Polis Daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau bagi laluan yang mendesak.-- Bernama


Esszone, Sabah

Artikel Lain