suria

MH17: Spekulasi Tak Berasas Hanya Menyedihkan Keluarga Mangsa - Liow

Datuk Seri Liow Tiong Lai bersalaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Seri Perdana,Jumaat. -foto RAYMOND OOI/ The Star
PUTRAJAYA: Henti buat spekulasi tidak berasas terhadap siasatan MH17 kerana ia akan lebih menyakiti keluarga mangsa, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata laporan jawatankuasa siasatan ke atas kejadian itu akan siap pada bulan Oktober.

"Dalam pada itu, saya menyeru kepada orang ramai yang telah menyebarkan khabar angin mengenai siasatan dan kejadian itu supaya berhenti berbuat demikian.

"Harap hormati keluarga si mati kerana menyebarkan dakwaan tidak berasas ini hanya akan membuatkan mereka lebih bersedih," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Seri Perdana.

Liow juga menggesa orang ramai tidak menuding jari kepada Malaysia Airlines (MAS).

Beliau berkata MAS bukan satu-satunya syarikat penerbangan yang menggunakan laluan tersebut di ruang udara Ukraine.

"Pada hari yang sama, malah pada masa yang sama juga, terdapat penerbangan dari syarikat penerbangan lain yang menggunakan laluan itu.

"Ia telah diluluskan oleh kawalan trafik udara dan MAS memang mengikuti prosedur yang betul," kata Liow.

Pada 17 Julai tahun lepas, semua 298 penumpang dan anak kapal, majoritinya warga Belanda meninggal dunia ketika pesawat Boeing 777, dalam penerbangan di dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di kawasan dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Artikel Lain