suria

Keadaan Di Plaza Low Yat Selamat - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan keadaan di Plaza Low Yat di sini, yang pada hujung minggu lepas dicemari insiden pergaduhan dan rusuhan, adalah terkawal dan selamat.

Beliau berkata pihaknya akan terus membuat kawalan di sekitar kawasan berkenaan untuk memastikan keadaan terus terkawal seperti sedia kala.

"Saya sahkan di sini bahawa tempat itu (Plaza Low Yat) selamat," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Bukit Aman, di sini Jumaat.

Khalid, bagaimanapun berkata ada beberapa individu yang cuba hendak mengganggu ketenteraman awam serta menggembar-gemburkan keadaan dengan menyebar maklumat palsu.

Ditanya mengenai status penulis blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Mohd Azri Wan Deris, yang sepatutnya direman sehingga hari ini, Khalid berkata ia terserah kepada Polis Kuala Lumpur yang menjalankan siasatan terhadapnya.

"Kalau mereka perlukan tambahan tempoh untuk dia ditahan, kita akan mohon. Kalau dah selesai siasatan, mungkin kes dia akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya," katanya.

Sebanyak 26 individu lain yang ditahan sebelum ini, dibebaskan dengan jaminan polis sejak Rabu.

Insiden pergaduhan di plaza berkenaan tercetus Sabtu lepas, selepas seorang remaja lelaki berusia 22 tahun ditangkap oleh pekerja sebuah kedai menjual alat komunikasi kerana mencuri sebuah telefon bimbit bernilai RM800.

Keesokannya, pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggembar-gemburkan keadaan dengan menghantar maklumat berbaur perkauman melalui media sosial sehingga mencetuskan rusuhan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain