suria

Tidak Timbul Isu Peguam Negara Pengaruh Siasatan 1MDB - Pasukan Petugas Khas

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mencampuri dan mempengaruhi urusan siasatan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, PPK menegaskan Abdul Gani, selaku Pendakwa Raya, hanya dirujuk untuk mendapatkan panduan dan nasihat perundangan bagi memastikan siasatan dikendalikan secara holistik dan mengikut undang-undang.

PPK dianggotai oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, PPK menjelaskan siasatan kes sememangnya dikendalikan oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai agensi penyiasat yang berkaitan.

PPK berkata pemberian panduan dan nasihat undang-undang oleh Peguam Negara merupakan satu amalan yang biasa diambil oleh mana-mana agensi penguat kuasa berkaitan kes-kes yang disiasat.


"Pemberian dan panduan dan nasihat undang-undang sedemikian dalam kes 1MDB adalah sama dan selaras dengan amalan lazim dalam semua kes yang disiasat," katanya.

Pasukan itu berkata perbincangan antara agensi diadakan dari semasa ke semasa untuk tujuan penyelarasan secara kolektif bagi memastikan kelancaran proses siasatan.

PPK berkata demikian sebagai mengulas laporan portal 'The Malaysian Insider' pada Khamis bertajuk 'Gani Patail should withdraw from 1MDB task force, say former A-G, lawyers' yang menyatakan bahawa tidak wajar Abdul Gani menganggotai PPK yang sedang menyiasat kes berkaitan 1MDB.

Menurut kenyataan itu, SPRM, PDRM dan BNM mempunyai skop siasatan masing-masing mengikut peruntukan undang-undang negara.

"Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Polis Negara dan Gabenor BNM adalah ketua yang bertanggungjawab di peringkat siasatan masing-masing," katanya.


"Dalam hal ini, Peguam Negara amat peka tentang bidang kuasanya sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Pasukan itu juga berkata siasatan ini akan dijalankan dengan telus, bebas dan profesional serta berharap semua pihak meletakkan keyakinan dan kepercayaan ke atas PPK.
1MDB, PPK, Tan Sri Abdul Gani Patail

Artikel Lain