suria

1MDB: Bekas Editor Buat Pendedahan

PETALING JAYA: Seorang bekas wartawan yang didakwa pernah bekerja dengan Sarawak Report mendakwa pemimpin pembangkang mengadakan komplot dengan laman web pemberi maklumat mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam video berdurasi tiga minit itu, Lester Melanyi, seorang bekas editor Sarawak Tribune mendakwa beliau bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakannya berbangsa Latin di London selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Lester mendakwa pengasas Sarawak Report dan editor Clare Rewcastle Brown mengatur satu mesyuarat dengan ketua pembangkang itu di sebuah hotel selepas PRN Sarawak.

Dia mendakwa pada keesokan harinya, mereka bertemu Anwar dan rakannya berbangsa Latin untuk sarapan pagi di sebuah restoran Halal.

Video bertajuk Pendedahan Kerja Pemalsuan Dokumen #1MDB Oleh Sarawak Report dimuat naik di laman YouTube pada Rabu.

Lester juga berkata Sarawak Report pada awalnya memberi tumpuan kepada bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud sebelum mengalih fokus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mendakwa dia diambil bekerja oleh Yayasan Bruno Manser (BMF) pada 2011 dan menerima bayaran tunai daripada Brown ketika berada di London selama setahun tiga bulan dari 2012 dan 2013.

Lester mendakwa dia berperanan mengumpul maklumat untuk Sarawak Report dan menulis laporan bagi Radio Free Sarawak dan mereka berkomunikasi menerusi e-mel tetapi sekiranya perkara itu penting Brown akan menghubunginya.

Apabila kembali ke Sarawak, Lester mendakwa gajinya dibayar menggunakan Western Union dibawah nama abang iparnya.

Lester juga mendakwa Brown memaklumkan kepadanya mengenai 'rancangan 1MDB' pada Januari tahun ini.

Beliau berkata Brown memberitahu beliau bahawa mereka ada misi penting untuk ketua pembangkang dan perlu melakukannya mengikut arahan dua Ahli Parlimen pembangkang.

"Namun mereka menunjukkan saya beberapa butiran palsu yang saya perlu perolehi dari London seperti e-mel dan apa sahaja kerana semua ini telah dicipta. Saya maklumkan kepadanya saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada komplot ini," dakwanya dalam pendedahan Siri 1 yang dimuatnaik dalam video tersebut.




1MDB, Sarawak Report

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain