suria

Gerakan Harapan Baru Dan NGO Nazir Akan Berkerjasama Dalam Isu Tertentu

Datuk Saifuddin Abdullah
PETALING JAYA: Satu mesyuarat santai telah diadakan di antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global Datuk Saifuddin Abdullah dan seorang wakil daripada Gerakan Harapan Baru yang baharu ditubuhkan di mana kebanyakan ahli terdiri daripada progresif PAS.

Terdahulu pada Rabu, The Straits Times Singapura menulis bahawa Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak mungkin akan akan menghubungkan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dicadangkan itu dengan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Bagaimanapun Saifuddin, yang dilihat sebagai 'wajah' kepada NGO Nazir itu, menjelaskan bahawa kedua-dua kumpulan itu akan berhubung untuk berkerjasama dalam perkara tertentu sahaja dan tidak ada kumpulan yang akan menyertai mana-mana kumpulan lain.

Dalam mesej teks kepada The Star Online, Saifuddin menyifatkan perbincangan dengan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai 'pertemuan antara dua sahabat baik'.

"Kami dari parti politik bertentangan, tetapi telah bekerjasama mengenai isu-isu tertentu pada masa lalu. Ia adalah mesyuarat kasual, bukan mesyuarat rasmi di mana beliau mewakili kumpulannya atau saya mewakili Datuk Seri Nazir," kata Saifuddin.

"Kami berkongsi apa yang kumpulan kami rancang untuk lakukan. Ia adalah jelas bahawa kumpulannya adalah sebuah parti politik manakala kita adalah sebuah NGO; pihaknya menggunakan Islam sebagai label dan ideologi manakala kita adalah berbilang kaum," katanya.

"Bagaimanapun, pada masa akan datang, mungkin terdapat bidang atau isu-isu tertentu di mana kedua-dua pihak boleh berunding antara satu sama lain atau bekerjasama," kata beliau.

Saifuddin berkata, NGO itu merancang untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain juga.

The Straits Times melaporkan bahawa Mujahid bercadang membincangkan cadangannya dengan seluruh Gerakan Harapan Baru.

Golongan yang memisahkan diri dalam PAS ini terdiri daripada sejumlah 14 "Yang Berhormat" dengan melancarkan Gerakan Harapan Baru, pada Isnin.

Kumpulan progresif mengalami kekalahan dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, kumpulan ini sedang dalam proses untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang secara meluas dikatakan akan menggantikan PAS yang kini tidak berfungsi lagi dalam Pakatan Rakyat.

Pada Jun, dilaporkan bahawa Nazir, adik bongsu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah merancang untuk menubuhkan sebuah NGO untuk menangani persekitaran sosio-politik Malaysia semasa dan kesannya ke atas ekonomi.

Nazir telah dilaporkan menghubungi pemimpin perniagaan di United Kingdom dan Kuala Lumpur berhubung penubuhan organisasi.

NGO yang itu berfungsi untuk membolehkan suara kesederhanaan akan lebih didengari.

Artikel Lain