suria

Gempa: Setengah Juta Untuk Baiki Surau Dan Masjid

KOTA KINABALU:  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa menyumbang RM551,596.76 kepada kerajaan Sabah bagi membantu membaiki surau dan masjid yang rosak akibat gempa bumi pada 5 Jun lalu.

Penyerahan sumbangan MAIWP, Jawi serta TH itu diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyempurnakan penyampaian replika cek sumbangan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.

"Dana sumbangan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin dan difahamkan ekoran gempa yang lalu masjid dan surau dilaporkan banyak rosak dan memerlukan pembaikan atau pembinaan segera," kata Jamil Khir.

Beliau berkata sumbangan itu adalah hasil kutipan di masjid-masjid serta surau-surau di Wilayah Persekutuan serta TH.

Sementara itu, Musa berkata kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas keprihatinan MAIWP, Jawi dan TH membantu Sabah yang terjejas dari segi insfrastruktur berikutan gegaran gempa lalu.

Katanya, semoga keikhlasan dan semangat membantu yang ditonjolkan itu, dapat melahirkan rasa kekitaan yang cukup tinggi dalam masyarakat kita terutamanya rakyat Sabah.

Gempa Bumi Surau, Tabung Haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain