suria

Tiong Lai Perjelas Akaun Twitter Palsu Bukan Miliknya

PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekali lagi menjelaskan bahawa sebuah akaun Twitter dengan nama @MCAPresident adalah palsu dan bukan miliknya.

Setiausaha Akhbarnya, Lim Chau Leng berkata, Liow menerusi akaun rasminya @liowtionglai telah memberi penjelasan mengenai akaun palsu itu pada April lalu.

"Akaun tersebut adalah palsu, menggunakan nama dan jawatan Datuk Seri Liow.

"Pandangan yang dibuat oleh individu yang memiliki akaun palsu bukan mewakili atau menggambarkan pandangan Presiden MCA," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai Astro Awani yang tersalah memetik 'tweet' daripada akaun palsu itu dan mengaitkan Liow dalam satu laporan berita berhubung insiden Low Yat Plaza.

"Adalah amat dihargai sekiranya pandangan-pandangan daripada akaun palsu ini tidak dimasukkan dalam laporan berita Astro Awani supaya ia tidak mengelirukan orang awam.

"Kita juga akan melaporkan perkara ini (mengenai akaun palsu) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana ia merupakan satu kesalahan yang serius," tambahnya.

Berdasarkan semakan terhadap laman web Astro Awani menunjukkan komen daripada akaun palsu itu telah dikeluarkan daripada laporan berkenaan yang bertajuk 'Pergaduhan Low Yat tiada kaitan dengan perkauman.'


Liow Tiong Lai

Artikel Lain