suria

PLKN Mampu Elak Kejadian Rusuhan, Pergaduhan Dalam Masyarakat

Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim

PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mampu membantu mengelak insiden rusuhan dan pergaduhan di kalangan masyarakat berulang pada masa akan datang.

Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat negara (PPKN) Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim berkata, PLKN bukan sahaja menjadi platform terbaik untuk membentuk disiplin remaja tetapi juga dapat memupuk semangat perpaduan kaum.

"Modul dan aktiviti dalam PLKN mampu membentuk pemikiran positif dan nilai-nilai murni di kalangan belia.

"Jika mahu lihat negara kita terus aman dan harmoni, PLKN adalah satu langkah terbaik yang patut dikekalkan pelaksanaannya," katanya kepada mStar Online, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian rusuhan dan pergaduhan di Plaza Low Yat pada Sabtu dan malam Ahad.

Insiden itu dikatakan berpunca ekoran tujuh individu muncul di lokasi berkenaan untuk membalas dendam terhadap pembantu kedai yang menangkap seorang individu lain yang didakwanya mencuri sebuah telefon bimbit.

Ahmad Kamel berkata, beliau secara peribadi berpandangan bahawa apa yang berlaku tiada kaitan dengan isu perkauman, sebaliknya menganggap ia sebagai salah faham di antara dua pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata insiden perkauman tidak mustahil akan berlaku pada masa akan datang jika langkah awal untuk membendungnya tidak diambil.

"Saya tak nampak ia sebagai isu perkauman, tetapi kejadian seperti ini boleh berulang atau melarat ke isu perkauman jika anak-anak tidak berterusan dididik dan diterapkan dengan akhlak mulia.

"Selepas meninggalkan sekolah, di mana lagi anak-anak kita boleh tinggal bersama dan duduk semeja kalau bukan di PLKN," katanya.

Artikel Lain