suria

Keadaan Terkawal, Polis Tahan Tiga Lelaki di Plaza Low Yat

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan terhadap dua kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini, Ahad.

Beliau turut menafikan dakwaan dalam media sosial kononnya pergaduhan itu tercetus akibat isu perkauman, sebaliknya hanya melibatkan pergaduhan dua pihak.

"PDRMsia telah tangkap sebahagian mereka yang terlibat bergaduh semalam dan sedang kesan yang lain. Biar polis ambil tindakan," katanya melalui akaun Twitter beliau awal pagi Isnin. 

Khalid juga mengesahkan keadaan di pusat perniagaan peralatan elektronik itu tenang dan terkawal malam ini.

"Tiada pergaduhan atau rusuhan. Jangan percaya khabar angin. Polis berkawal," katanya.

Sementara itu, menurut wartawan Bernama yang membuat tinjauan di plaza tersebut malam ini, dianggarkan beratus orang berkumpul di hadapan plaza itu sejak 8 malam tadi, dipercayai rakan kepada individu yang ditahan polis selepas insiden pergaduhan di plaza itu, semalam.

Semalam, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 22 tahun, dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.

Kejadian pada 7.38 malam itu, dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Low Yat kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa ketika ditemui pemberita malam ini, berkata polis menahan tiga lagi individu malam ini di plaza berkenaan.

Mereka yang ditahan berusia 22 hingga 25 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan selepas cuba melakukan provokasi dalam perhimpunan di luar plaza berkenaan.

"Saya bagi jaminan, pihak polis akan menjalankan siasatan yang telus dan adil terhadap kedua-dua pihak.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendengar, percaya atau menyebarkan khabar angin dalam media sosial yang tidak ada pengesahan daripada polis," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain