suria

Persenda Islam: Pendakwaan Panggil 14 Saksi

KUALA LUMPUR: Seramai 14 saksi akan dipanggil dalam perbicaraan kes penulis blog kontroversi, Alvin Tan, dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee, yang didakwa mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, dua tahun lepas.

Kesemuanya, termasuk dua pakar forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, akan hadir sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan selama empat hari, bermula pada 23 November.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud tetapi ditangguhkan selepas mahkamah membenarkan permohonan peguam Wiliam Siau Vui Leong, yang mewakili Lee, 26.

Siau memohon penangguhan itu atas alasan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan kes Akta Hasutan yang dihadapi pensyarah undang-undang, Profesor Madya Dr Azmi Sharom, kerana anak guamnya didakwa mengikut akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkankepada mahkamah pihaknya bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes itu dan menjelaskan tidak ada masalah sekiranya kes membabitkan Azmi belum diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan. 

"Tidak ada masalah walaupun kes (Azmi) tidak diputuskan kerana ia tidak membabitkan apa-apa prejudis kepada mana-mana pihak.

"Jika Akta Hasutan itu diputuskan tidak berpelembagaan, pertuduhan mengikut Akta Hasutan ke atas tertuduh (Lee) boleh digugurkan pada bila-bila masa sewaktu perbicaraan," katanya.

Wan Shaharuddin juga memberitahu mahkamah, Jabatan Peguam Negara telah menolak permohonan pihak pembelaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Lee kerana Tan tidak hadir di mahkamah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini Tan, Wan Shaharuddin berkata lelaki itu selalu muncul di laman sosial Facebook namun tidak berani pulang ke Malaysia.

Pada 6 Mac lepas, mahkamah memerintahkan perbicaraan terhadap Lee diteruskan walaupun tanpa kehadiran Tan. Tan gagal hadir kali pertama ke mahkamah pada 13 Jun tahun lepas ketika sebutan kes itu.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan membebaskan pasangan itu daripada satu pertuduhan iaitu menimbulkan permusuhan antara penganut pelbagai agama melalui perbuatan mereka memuat naik gambar menghina umat Islam ketika Ramadan melalui laman sosial Facebook.

Mereka pada mulanya menghadapi tiga pertuduhan. Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, dua lagi pertuduhan terhadap Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, dan Lee, atau Lee May Ling, kekal.

Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan kerana menyiarkan gambar dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dalam laman facebook di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini, pada 10.48 malam antara 11 dan 12 Julai 2013.

Satu lagi pertuduhan ialah menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook mereka dan didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam, 6 Julai 2013 dan 2 pagi, 7 Julai 2013.
Alvin Tan, Vivian Lee, persenda Islam

Artikel Sebelum

Artikel Lain