suria

Ops Selamat: Gambar Pesalah Trafik Akan Dirakam - Polis

Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff

KUALA LUMPUR: Pemandu-pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas mungkin akan dirakamkan gambarnya sepanjang Ops Selamat yang dilancarkan sempena Aidilfitri.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, jika sebelum ini kamera digunakan untuk kesalahan memandu melebihi had laju, untuk Ops Selamat ia turut akan 'menangkap' beberapa kesalahan lalu lintas lain.

"Biasanya kamera perangkap kelajuan digunakan untuk menangkap pemandu yang memandu lebih had laju.

"Sekarang, ia juga akan digunakan untuk menangkap gambar pemandu yang memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan meletakkan kenderaan di tempat yang dilarang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Isnin.

Mohd Fuad berkata selain mengesan kesalahan menggunakan kamera, pegawai-pegawai trafik juga akan ditempatkan di kawasan-kawasan panas di mana kerap berlakunya kemalangan.

"Tahun ini kami telah mengenal pasti 60 kawasan panas di seluruh Malaysia yang sering berlaku kemalangan maut.

"Kami juga mengenal pasti 53 kawasan panas lain di sepanjang lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur," katanya.

Tambahnya, pasukan peronda juga akan dikerahkan di sepanjang laluan tertentu lebuh raya untuk memantau keadaan pada waktu puncak yang dijangka pada hari Rabu dan Khamis ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata Ops Selamat yang baru tiga hari dijalankan itu telah menunjukkan sesuatu yang tidak baik berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan.

Katanya, pada hari pertama Ops Selamat, sebanyak 8,643 saman dikeluarkan, diikuti 11,473 saman pada hari kedua dan 14,438 saman pada Ahad, menjadi jumlah keseluruhan 34,554 saman.

"Saya tidak gembira dengan angka ini. Ia secara tak langsung menunjukkan sikap pemandu di negara ini.

"Jika seseorang itu berhemah dalam pemanduan, dia tak akan kena saman. Ia berkaitan sikap, bukan tahap pendidikan atau sebagainya...golongan profesional, guru, malah wartawan pun ada yang kena saman," katanya.

Dalam tempoh tiga hari itu juga, sebanyak 4,184 kemalangan telah berlaku dan 68 daripadanya adalah kemalangan maut yang meragut nyawa 74 nyawa.

Mengenai Ops Warta, Mohd Fuad berkata ia tidak dihentikan sebaliknya 'diperlahankan' bagi membolehkan pegawai memberi tumpuan terhadap tugas-tugas kecemasan dalam Ops Selamat.

Katanya, pesalah trafik tegar akan terus diburu melalui Ops Warta sebaik sahaja tamat Ops Selamat.

Beliau berkata, sejak Ops Warta dilancarkan tahun ini, sejumlah 96,269 waran tangkap telah diselesaikan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain