suria

Keputusan 'Bercerai' Dengan DAP Disokong

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyokong penuh keputusan Majlis Syura Ulamak parti itu yang memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata PAS Terengganu juga bersedia menghadapi sebarang risiko yang akan tercetus hasil keputusan itu dan akan terus berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam yang didokong selama ini.

"Diharap semua pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi berlapang dada dengan keputusan tersebut serta dapatkan maklumat terkini dari pimpinan PAS dari masa ke semasa.

"Kita tetap yakin bahawa perjuangan PAS tetap akan memperolehi kemenangan dan paling penting perjuangan ini mendapatkan keredhaan Allah, manakala segala rintangan yang dihadapi akan lebih mematangkan PAS dan ahlinya," katanya pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai pembatalan kerjasama politik dengan DAP.

Sementara itu, badan perhubungan PAS Pulau Pinang menyeru ahli-ahlinya supaya mendokong penuh keputusan Majlis Syura Ulamak itu.

Ketua Penerangan PAS Negeri, Mohd Yusni Mat Piah berkata sebagai negeri yang terlibat secara langsung dalam pembinaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, sudah pasti keputusan majlis itu akan memberikan kesan kepada ahli dan pentadbiran negeri ini.

Katanya, ahli-ahli PAS Negeri dinasihati agar siap sedia menjalankan arahan-arahan pimpinan parti.

"Usah bertindak melulu dan terburu-buru tanpa menghiraukan arahan parti," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, PAS Selangor masih menunggu arahan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) berhubung keputusan Majlis Syura Ulama itu.

Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata PAS Selangor sehingga ini akan meneruskan kerjasama dan hubungan dengan DAP di Selangor.

"Kami dimaklumkan bahawa pelaksanaan keputusan ini telah diserahkan kepada JKPP menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

"Oleh yang demikian, PAS Selangor akan meneruskan kerjasama dan hubungan sehingga menerima arahan rasmi daripada JKPP," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Iskandar berkata hubungan dan kerjasama dalam kerajaan negeri itu adalah berdasarkan jawatan-jawatan kerajaan seperti anggota exco, anggota Dewan Negeri, anggota pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung.

Ini akan diteruskan demi menjaga amanah rakyat yang diterima pada pilihan raya umum ke-13 lepas.

PAS, DAP, Majlis Syura Ulama

Artikel Sebelum

Bas Rempuh Rumah Kedai

Artikel Lain