suria

Jangan Jadikan Insiden Gaduh Plaza Low Yat Isu Perkauman - KPN

Khalid Abu Bakar.

PETALING JAYA: Insiden yang berlaku di Plaza Low Yat pada Sabtu hanyalah pergaduhan antara dua pihak dan tiada kaitan dengan isu perkauman, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid menerusi kenyataan akaun Twitternya, @KBAB51 pada malam Ahad berkata: "Low Yat - @PDRM akan ambil tindakan terhadap kedua dua pihak yg bergaduh. Ini tiada kena mengena dgn kaum. Cuma dua pihak yang bergaduh!"

Dalam beberapa kenyataan di Twitter, Khalid berkata, keadaan adalah tenang dan tiada lagi pergaduhan atau rusuhan.

Malahan katanya, beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu telah ditahan namun tidak mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

"Low Yat - @PDRMsia sahkan bahawa keadaan tenang dan terkawal. Tiada pergaduhan atau rusuhan. Jgn percaya khabar angin. Polis berkawal.

"Low Yat- @PDRMsia telah tangkap sebhgian mrk yg terlibat bergaduh semalam dan sedang kesan yg lain. Biar Polis ambil tindakan," katanya sejurus selepas 'tweet' yang pertama.

Pada Sabtu, insiden itu menjadi tidak terkawal apabila tujuh individu muncul untuk membalas dendam terhadap pembantu kedai yang menangkap individu didakwa mencuri.

Beberapa pihak memberikan komen di media sosial mendakwa kejadian itu disebabkan oleh salah seorang remaja dijualkan telefon bimbit tiruan tetapi dakwaan tersebut tidak disahkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, seorang remaja lelaki warga tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat pada Sabtu.

Polis turut sedang mengesan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000.

Pada malam Ahad, satu kumpulan berhimpun di plaza itu yang dilihat sebagai 'protes' rentetan kepada kejadian yang berlaku pada Sabtu.

Kumpulan yang disertai kira-kira 100 orang itu dipercayai diketuai oleh badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Se-Malaysia (Pekida), berhimpun dekat gedung itu pada kira-kira pukul 6.30 petang.

Mereka berhimpun sebagai tanda protes kerana dakwa mereka bahawa siasatan yang dilakukan pihak polis bersifat 'berat sebelah'.

Kumpulan itu memasuki gedung tersebut pada kira-kira pukul 8.35 malam namun polis berjaya membawa mereka keluar.

Pihak polis kemudiannya membuat kawalan di Plaza Low Yat pada kira-kira pukul 9 malam dan kumpulan itu bersurai pada pukul 10 malam.

Khalid Abu Bakar, Plaza Low Yat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain