suria

"Saya Masih Tunggu Keadilan Untuk Suami" - Isteri Mangsa MH17

KUALA LUMPUR: Seminggu lagi genap setahun tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 ditembak jatuh di Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya, namun sehingga kini pasukan penyiasat belum dapat mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Bagi waris mangsa dari negara ini, khususnya, mereka masih tetap berharap pihak terbabit dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu dapat segera dihukum.

"Saya masih menunggu keadilan untuk suami saya, saya rasa sudah terlalu lama saya menanti apakah hasil siasatan lengkap mengenai MH17".

Itu reaksi Normi Abdullah, isteri kepada Penyelia Anak Kapal penerbangan MH17, Mohd Ghafar Abu Bakar, 54, yang terkorban dalam tragedi itu.

Yang pasti, tarikh 17 Julai 2014 akan sentiasa terpahat dalam ingatan Normi, 54, yang tidak pernah berhenti mengikuti dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian itu selagi tiada keputusan muktamad tentang pihak mana yang bersalah selain mencari punca berlakunya serangan itu.

"Saya cuma mahukan keadilan, jangan biarkan mereka (mangsa) mati dalam keadaan sia-sia, siapa yang tembak pesawat itu? 

"Saya nak tahu...Saya rasa semua keluarga mangsa nak tahu dan mengharapkan kerajaan segera mengambil tindakan," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Ghafar antara 298 individu yang terkorban dalam nahas penerbangan MH17 semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine, yang melibatkan 44 mangsa warga Malaysia selain dari negara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Esok satu upacara memperingati mangsa tragedi MH17 dijadual akan diadakan oleh Kementerian Pengangkutan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bersempena ulang tahun pertama tragedi itu.

Bercerita lanjut, Normi turut berkongsi detik terakhir beliau berbual dengan suaminya : "Perbualan terakhir saya bersama arwah adalah semasa beliau menghantar pesanan kepada saya melalui telefon menyatakan, jumpa di KL nanti".

Normi menggambarkan suaminya, seorang lelaki yang baik, sangat 'simple', pemaaf dan gemar bergurau dengan ketiga-tiga anaknya Sa'imah Baizura, 29, Ammar Syarif, 25, dan Afi Hazim, 14.

Kadangkala anak bongsunya Afi Hazim, yang kurang upaya (OKU), akan menceritakan pengalaman dan kenangan indah bersama ayahnya, menyebabkan  Normi berasa tersentuh dan sedih dengan situasi itu.

Sementara itu, keluarga kepada Mohd Ali Md Salim, 30, seorang daripada penumpang pesawat itu, tabah dalam mengenang peristiwa berkenaan lebih-lebih lagi bapa Allahyarham, Md Salim Sarmo, 65.

Menurut abang sulungnya, Mohd Zaki Md Salim, 39, pemergian adiknya adalah satu kehilangan besar buat beliau malah sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak tahun lepas dipenuhi dengan suasana pilu dalam keluarga kerana kehilangan orang yang selalunya menjadi penggerak utama kepada persiapan perayaan itu.

"Setiap tahun, bila tiba Raya, Ali akan mengemas rumah, pasang langsir baharu, dia memang seronok masa Raya, dan dialah yang mewarnakan Hari Raya kami.

"Bila dia tidak ada masa Raya, semua merasa macam kami kehilangan seseorang, namun apakan daya ini adalah ketentuan Allah, walaupun kami sedih atas kehilangan Ali tapi kami tetap tabah mengahadapi dugaan ini," kata Zaki kepada Bernama.

Mohd Ali, merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Kedoktoran (PhD)  Pengajian Psikologi, di sebuah universiti di Amsterdam.

Allahyarham yang merupakan anak ke-6 daripada lapan adik beradik, merancang untuk menyertai Universiti Sains Malaysia pada tahun ini sebaik menamatkan ijazah kedoktoran beliau di luar negara.

Mohd Zaki berkata keluarganya tetap berharap agar kerajaan dapat mengesan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu dan segera diheret ke muka pengadilan.

"Itu sahaja yang keluarga saya inginkan, tolong tangkap pihak yang  bertanggungjawab terhadap insiden ini, tolonglah," katanya.-- Bernama

Normi Abdullah, MH17, KLIA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain