suria

Kerajaan DAP Pulau Pinang Arah SUK Teliti Urusan Tanah 1MDB

GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang bersedia membekukan sebarang urusan tanah milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Air Itam yang dilapor akan dijual untuk projek pembangunan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam urusan tanah yang melibatkan 1MDB termasuk berkaitan urusan pindah milik tanah dan akan meneliti peruntukan undang-undang berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, Lim berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang telah diarah meneliti sebarang urusan tanah dan pindah milik tanah milik 1MDB.

"Majlis mesyuarat kerajaan negeri hari ini membuat keputusan bahawa kita sedia membekukan apa-apa urusan tanah yang berkaitan 1MDB.

"Walaupun kerajaan negeri tidak ada sebarang urusan tanah dengan 1MDB tetapi peruntukan perundangan boleh diambil ke atas pihak yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

1MDB dilapor memiliki tanah seluas 94.7 hektar di Air Itam dan pada 30 Jun lepas Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy dalam kenyataan berkata pihaknya telah menerima beberapa cadangan untuk menjual tanah milik 1MDB di Air Itam, Pulau Pinang dan Pulau Indah, Selangor.

Arul berkata cadangan itu susulan pengumuman syarikat pada 18 Feb untuk menjana wang daripada dua bidang tanah itu melalui usaha sama atau jualan terus dan hasrat itu kemudian disahkan dalam pelan rasionalisasi yang dibentang kepada Kabinet pada 29 Mei.

Lim turut mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjalankan urus niaga dengan 1MDB di Pulau Pinang supaya berhati-hati.

"Sekiranya ada sebarang tindakan diambil kemudian oleh kerajaan negeri, janganlah beri alasan tidak tahu langsung kerana peringatan telah diberikan pada hari ini," tegasnya.

Sementara itu, Lim berkata beliau terkejut dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan perlunya empat saksi yang boleh dipercayai untuk menyokong dakwaan rasuah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sekiranya dalam kes rasuah perlu ada empat saksi maka semua akan bebas lakukan rasuah kerana transaksi kewangan adalah menerusi komputer," katanya.

Pulau Pinang, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain