suria

POKOK SENA: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bercadang menjadikan tanah perkuburan Kampung Tualang, yang menempatkan jenazah mangsa pemerdagangan manusiasebagai tanah perkuburan bersepadu pada masa depan.

Pengarahnya Datuk Noh Dahya berkata, ia bakal menyerupai Tanah Perkuburan Bersepadu Sungai Petani Timur dan Tanah Perkuburan Bersepadu Sungai Petani Barat yang dijaga secara sistematik, berlandskap dan mengguna pakai teknologi moden.

Melalui konsep tersebut katanya, waris boleh merujuk kepada maklumat simati dengan merujuk pangkalan data yang tersedia dan lebih sistematik.

"Kita bercadang mengguna teknologi moden, boleh tempah tanah perkuburan dan maklumat tentang waris boleh merujuk kepada pangkalan data jadi dia boleh cari kubur moyang dia dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Bagaimanapun menurut Noh, setakat ini fokus utama pihaknya adalah meletakkan batu nisan kepada semua perkuburan jenazah pemerdagangan manusia di Kampung Tualang itu.

Jabatan Kerja Raya katanya juga merancang untuk memagar tanah perkuburan itu.

Penyelenggaraan tanah perkuburan seluas 5.76 hektar itu akan diputuskan bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) katanya, memandangkan tapak perkuburan itu sekarang telah menjadi perkuburan antarabangsa.

"Ia (tapak perkuburan) pada asalnya merupakan tanah perkuburan untuk penduduk Kampung Tualang sahaja, kita pun hendak ucap terima kasih kepada penduduk kampung ini, dengan pengorbanan mereka kita dapat sempurnakan pengebumian jenazah di sini," katanya sambil menambah tanah perkuburan tersebut juga boleh dijadikan tempat pengebumian untuk jenazah tanpa waris.

Mengulas bagaimana proses untuk menandakan kubur dengan batu nisan, beliau berkata ia dilakukan mengikut nombor siri yang dikeluarkan oleh MKN selepas selesai ujian forensik.

"Pihak keselamatan guna 'coding label' nombor siri sebab tidak ada dokumen, jadi kes mangsa etnik Rohingya ini tidak miliki apa-apa dokumen yang boleh dijadikan rujukan, jadi kita ambil berdasarkan keputusan forensik sementara itu," katanya.

Tualang, Pelarian Rohingya

Artikel Lain