suria

Bersatu, Tolak Fahaman Ekstremis - PM

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi gesaannya kepada rakyat Malaysia supaya bersatu dan dengan tegas menolak fahaman ekstremis.

Perdana Menteri berkata terlalu banyak contoh apabila nama Islam telah disalah guna untuk menjustifikasikan kezaliman yang dilakukan termasuk kanak-kanak dibunuh, wanita dirogol dan sekolah musnah. 

"Kita mesti menamatkan semua ini.Kekejaman ini memusnahkan nama baik Islam, menjustifikasikan tindakan kejam mereka dengan berselindung di bawah konsep jihad yang disalah guna.

"Kekejaman ini juga telah memusnahkan kehidupan ramai - kanak-kanak yang tidak inginkan apa-apa tetapi kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka dan menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain di tempat lain di dunia, golongan dewasa yang tidak mengharapkan apa-apa tetapi untuk mendapat rezeki untuk diri sendiri dan orang tersayang," kata Najib menerusi cacatan terbaru dalam blog beliau, www.najibrazak.com.

Menurutnya beliau percaya jalan kesederhanaan ini tidak pernah menjadi pilihan bagi mana-mana individu, sama ada dalam pertuturan dan tingkah laku, tetapi satu keperluan untuk berjaya dalam hidup dan ramuan yang kritikal untuk Malaysia menjadi negara moden dan progresif.

Najib berkata bahawa konsep kesederhanaan tidak wujud semata-mata dalam domain sekular, malah, katanya, ia telahpun dijelaskan dalam Al-Quran.

"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu," katanya dengan memetik Surah Al-Baqarah ayat 143.

Beliau menegaskan bahawa konsep kesederhanaan bukan eksklusif untuk agama Islam sahaja apabila ia telahpun dinyatakan sebagai nilai sejagat kepada semua agama utama di dunia.

"Dalam agama Kristian, Bible menyatakan, "let your moderation be known unto all men" (maklumkan kesederhanaan anda kepada semua manusia) dan dalam agama Buddha, penganutnya diajar supaya mengikut laluan pertengahan, menjalani kehidupan secara sederhana dan mengamalkan cir-ciri bukan keganasan. 

"Dalam agama Yahudi pun, Taurat mengajar bahawa kesederhanaan dalam semua perkara adalah satu 'cara hidup' dalam erti sebenar adat Yahudi," tambah Najib. 

Kerana keganasan dibalas keganasan, Najib menegaskan bahawa pujukan, perundingan dan kerjasama adalah satu-satunya senjata untuk memerangi fahaman ekstremis.

"Sikap mendiamkan diri boleh bermakna memberi persetujuan. Beban terletak pada kita untuk memastikan bahawa suara kewajaran adalah lebih lantang daripada biasa, dengan membawa konsep kesederhanaan di mana-mana. Kita tidak boleh menjadi golongan majoriti senyap.

"Sebagai sebuah negara, kita telah menyaksikan satu sejarah kesederhanaan yang besar dan lama dalam tadbir urus kami; kita memperoleh kemerdekaan tanpa peperangan; kita menjalin semula hubungan dengan Indonesia secara aman; kita pulih dari banyak peristiwa tragis," katanya, sambil menambah bahawa setiap satu membawa detik penting bagi Malaysia, dan semuanya dicapai melalui perbincangan dan rundingan.

Najib berkata rakyat Malaysia tidak harus mengamalkan atau membenarkan fahaman ekstremis bertapak sama ada dalam pertuturan dan tingkah laku, dan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak akan membenarkannya.

"Sebagai rakyat Malaysia dalam masyarakat berbilang agama, kita hidup sebagai satu bangsa. Kita harus menolak fahaman ekstremis dan marilah kita bersatu padu dan memperjuangkan keamanan dan kesederhanaan sebagai cara hidup, cara hidup bangsa Malaysia," katanya.

Najib Tun Razak

Artikel Lain