suria

Saya Tidak Pernah Ambil Dana Untuk Kepentingan Peribadi - PM

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan sebarang dakwaan beliau mengambil dana untuk kepentingan peribadi.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya pada malam Jumaat berkata, mengenai dakwaan terbaharu itu, beliau percaya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan di sebalik pembohongan itu bersama-sama dengan pihak asing termasuk blog Sarawak Report yang kini diragui kredibilitinya.

"Biar saya perjelaskan bahawa saya tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi seperti yang didakwa oleh musuh-musuh politik saya, sama ada (dana) daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad), SRC International atau entiti yang lain, seperti yang disahkan oleh syarikat terbabit.

"Adalah jelas dakwaan palsu ni hanyalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menyingkirkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi.

"Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar dakwaan itu hanyalah berasaskan pembocoran dokumen dan penyiasat yang tidak bernama," katanya dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa tiada sekali pun sumber dokumen berkanaan dikemukakan, manakala ia juga tidak pernah dibawa untuk pengesahan pihak berkuasa.

Dr Mahathir sebelum ini membuat dakwaan bahawa sebanyak RM42 bilion hilang daripada 1MDB walaupun ia sebenarnya merupakan hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion.

Laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Jumaat mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.65 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Terdahulu, Sarawak Report mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB menerusi pendedahan maklumat yang dibocorkan oleh bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Justo yang kini ditahan di Thailand.

Menurutnya, apa yang diketahui adalah sejumlah dokumen mengenai dakwaan baru-baru ini adalah berdasarkan laporan yang dipalsukan.

"Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikannya.

"Ini banyak mengatakan tentang kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk memburukkan kerajaan dan negara," katanya.

Najib berkata, mereka yang terus melancarkan serangan itu perlu bersedia berhadapan dengan kesannya akibat tindakan mereka. 

Tambahnya, taktik-taktik kotor termasuk beberapa taktik jenayah dalam keadaan untuk menggulingkan kerajaan akan menemui kegagalan dan mereka akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Malangnya, serangan palsu yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki kelebihan unik termasuk seperti menjadi Pengerusi Asean tahun ini dan hampir mencapai status negara maju. 

"Saya akan terus memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara untuk rakyat," jelas Najib.

Artikel Lain