suria

SPRM Mula Siasat Bekas Anak Syarikat 1MDB

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd berhubung pelaburannya.

Laporan Wall Street Journal pada Jumaat mendakwa sejumlah wang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari SRC International, sebuah syarikat tenaga yang pada awalnya di bawah 1MDB tetapi kemudiannya dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 2012.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya itu telah membuat penelitian terhadap isu dan mendapati ia dibawah bidang kuasa SPRM.

"Susulan semakan yang dijalakan, didapati terdapat asas untuk SPRM memulakan siasatan di bawah Akta SPRM 2009, dan sehubungan itu, satu penyiasatan telah dimulakan.

"Sejajar dengan peruntukan undang-undang, SPRM akan mengendalikan siasatan bebas dan profesional serta menyeluruh," kata Shukri.

Laporan WSJ dan Sarawak Report telah menyiarkan artikel-artikel pada Jumaat mendakwa dana 1MDB mencecah AS$700 juta (RM2.63 bilion) dipindahkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

1MDB dalam maklum balasnya menafikan memberikan sebarang dana kepada perdana menteri dan menyifatkan tindakan menyebarkan laporan tidak tepat itu adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan satu percubaan untuk melemahkan syarikat berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, tuduhan kononnya kira-kira RM2.6 bilion telah disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib merupakan sabotaj politik yang berterusan.

Artikel Lain