suria

Khidmat Teksi M'sia Kurang Memuaskan, Bukan Terburuk - Pengerusi Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia harus mengakui bahawa perkhidmatan pemandu teksi dalam negara memang berada pada tahap kurang memuaskan, kata Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong.

Namun beliau menafikan bahawa perkhidmatan teksi dalam negara sebagai terburuk di dunia dan menegaskan Malaysia harus berani mengakui kelemahan sendiri demi kepentingan perkhidmatan pengangkutan awam itu. 

"Tidak adil juga kalau mereka kata kita yang terburuk sekali, ada banyak negara lain yang lebih buruk perkhidmatan teksinya.

"Bagaimanapun memang keadaan perkhidmatan teksi kita tidak memuaskan dan kita harus menerima hakikat ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal LondonCabs.co.uk yang meletakkan pemandu teksi Malaysia di tangga teratas dalam senarai ‘10 Negara dengan Pemandu Teksi Paling Buruk di Seluruh Dunia.

Wee berkata, laporan oleh portal itu akan memberi kesan kepada industri pelancongan dalam negara. 

“Kita perlu adakan satu mesyuarat dan berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di mana satu mekanisme penguatkuasaan yang lebih tegas harus dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Laporan itu turut mengulas bahawa ada antara pemandu teksi dalam negara tidak menggunakan meter sebaliknya mengenakan kadar caj tinggi terutama terhadap pelancong asing.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah turut mempersoalkan kredibiliti laporan tersebut.

"Mereka hanya membuat laporan berdasarkan persepsi tetapi tidak turun dan datang melihat sendiri keadaan perkhidmatan teksi di sini (Malaysia).

"Mereka seharusnya membuat kajian yang lebih menyeluruh dan turun padang berjumpa dengan orang di dalam industri seperti pemandu teksi itu sendiri," katanya.

Aslah juga menegaskan bahawa sistem penguatkuasaan harus diperketatkan dengan mengadakan latihan yang lebih intensif terhadap bakal pemandu teksi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain