suria

Lelaki Warga Indonesia Maut Dihempap Jejantas Pejalan Kaki

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap jejantas pejalan kaki yang dalam pembinaan di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.53 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya apabila anggota bomba tiba di lokasi, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kita akan siasat punca bagaimana struktur jejantas yang sedang dibina itu boleh runtuh," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi berkata, mangsa dikenali sebagai Sabahri yang berusia 53 tahun.

"Hasil siasatan polis setakat ini, tiada unsur-unsur jenayah yang dikesan di tempat kerja mangsa. Ketika kejadian semua pekerja yang lain telah melarikan diri manakala runtuhan berlaku selepas hujan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, mangsa merupakan pekerja kontraktor kecil di kawasan tapak pembinaan itu dan projek ini dijalankan oleh sebuah syarikat yang beralamat di Jalan Klang Lama di sini.

"Tekong yang membawa mangsa sedang dikesan polis," katanya. 

Mohamad Roy berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Projek pembinaan jejantas itu merupakan projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah bermula pada Ogos tahun lepas dan dijangka siap September ini.

Artikel Lain