suria

Keputusan Kes Rafizi Ditetapkan 29 Julai

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen pada Rabu menetapkan 29 Julai untuk keputusan kes Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli yang didakwa atas pertuduhan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan anggota UMNO melalui kenyataannya dalam satu artikel Februari lepas.

Hakim Azwarnida Affandi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada Ketua Unit Pendakwaan Selangor Mohd Azari Harun dan peguam Eric Paulsen, yang mewakili Mohd Rafizi.

Mohd Azari dalam hujahnya berkata tertuduh sengaja mengeluarkan kata-kata menghina dalam kenyataannya semasa ditemu ramah seorang wartawan portal fz.com Mohd Azril Annuar melalui telefon.

"Semasa temu bual itu, tertuduh dengan sengaja membuat kenyataan tersebut, sedangkan dakwaan UMNO sebagai dalang yang membaling 'molotov cocktail' ke gereja tidak sepatutnya dibuat.

"Sepatutnya temu ramah itu adalah berkisar mengenai langkah-langkah yang akan diambil pihak pembangkang dalam isu politik dalam erti kata lain 'The Kajang Move' dan bukan mengenai dakwaan tersebut," katanya.

Mohd Azari berhujah tertuduh juga berniat membangkitkan kemarahan anggota UMNO apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Saksi pendakwaan kedua, Mohd Halim Wahab, selaku Ketua Pemuda UMNO Ulu Langat dalam keterangannya menyatakan tohmahan ke atas UMNO boleh membangkitkan kemarahan, malah kenyataan itu boleh menyebabkan ketegangan, huru-hara agama Islam dan Kristian," katanya.

Mohd Azari berkata berdasarkan elemen tersebut, pihak pendakwaan percaya kes prima facie telah berjaya dibuktikan selepas mengemukakan seramai tujuh saksi.

Sementara itu, Eric pula berhujah elemen menghina dalam kenyataan itu tidak dibuktikan pihak pendakwaan.

"Kesemua saksi pendakwaan memberitahu mereka tahu keadaan negara (masa itu) agak tegang dengan isu perkauman dan agama.

"Jelas dalam konteks ini, Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan yang bukan niatnya untuk menghina atau menimbulkan kemarahan sesiapa tetapi untuk menerangkan mengenai 'Kajang Move'," kata Eric.

Mohd Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan, didakwa dengan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan kepada anggota UMNO melalui kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?' yang boleh menjejaskan keamanan awam.

Rafizi yang ketika itu sebagai Pengarah Strategik PKR didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara pada 11.40 pagi, 4 Feb lepas.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Rafizi, Mahkamah, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain