suria

Dr M: Penangkapan Justo Tidak Kembalikan AS$1.9 Bilion

PETALING JAYA: Penangkapan warganegara Switzerland, Xavier Andre Justo tiada kaitan dengan usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan Justo memeras ugut PetroSaudi sehingga 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta) tidak menjelaskan mengapa 1MDB terpaksa membayar pinjaman AS$1.9 bilion untuk membiayai kegagalan usaha sama itu dengan syarikat petroleum Saudi.

"Apabila JV (usaha sama) telah dibubarkan selepas hanya enam bulan ditubuhkan, ia mestilah kerana 1MDB sedar bahawa usaha itu tidak baik.

"Apa yang perlu dilakukan adalah untuk menuntut ekuiti dan pinjaman berjumlah AS$1.9 bilion  dikembalikan. Sebaliknya, ia telah ditukar kepada pinjaman (murabahah)," kata Dr Mahathir menerusi posting terbaharu di blognya pada Isnin.

Selain itu Dr Mahathir juga mempersoalkan sama ada dakwaan bayaran pampasan sebanyak RM15 juta di atas pemecatan Justo mempunyai unsur rasuah.

"Itu adalah satu jumlah yang lumayan untuk membayar seorang pekerja atau pengarah selepas dia telah melakukan sesuatu yang salah. Biasanya dia hanya akan dibuang," katanya.

Dr Mahathir juga membidas penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta pengkritik Perdana Menteri itu memohon maaf berikutan penangkapan Justo ini.

"Minta maaf untuk apa? Hakikatnya bahawa sejumlah besar wang telah hilang. Bolehkah Justo membawa semua wang itu kembali?"

"Adakah Justo hendak menyatakan ada apa-apa yang lebih teruk daripada apa yang telah didedahkan Bursa Saham London? Jadi siapa yang perlu meminta maaf?" katanya.

Rabu lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan warga Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Artikel Lain