suria

Pembangunan Semula Masjid Kampung Baru Bermula 2011 - 1MDB

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Isnin berkata pembangunan semula masjid Kampung Baru bermula pada 2011, bercanggah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak baru-baru ini.

Syarikat itu kesal pelbagai pihak telah menggunakan projek pembangunan semula masjid itu sebagai alat untuk memenuhi agenda mereka sendiri.

"Pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke Kampung Baru pada 5 Februari 2011," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Isnin. 

1MDB berkata kerja pembinaan untuk mengubah masjid itu menjadi pusat masyarakat utama bagi penduduk Kampung Baru bermula pada 2012.

Kerja-kerja dijadual siap sepenuhnya akhir Julai tahun ini, kata syarikat itu sambil menambah, masjid tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin utama bagi pembangunan terancang Kampung Baru.

Syarikat itu juga menyatakan Yayasan 1MDB telah menyumbang RM20 juta kepada projek pembangunan semula masjid tersebut daripada awal pembangunannya pada 2011 hingga sekarang.

"Pembangunan semula masjid Kampung Baru adalah satu daripada banyak aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Yayasan 1MDB, berganding bahu dengan semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama," kata 1MDB.

Bagi maklumat lanjut mengenai aktiviti CSR 1MDB boleh melayari laman webnya, http://www.1mdb.com.my/csr/summary.

1MDB, kampung baru

Artikel Lain