suria

Perintah Jagaan Sementara Akan Didapatkan Untuk Mangsa Dera - Rohani

Rohani Abdul Karim.

PUTRAJAYA: Perintah jagaan sementara untuk ibu kandung kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang disyaki didera di Rantau Panjang, Pasir Mas hanya akan didapatkan selepas mangsa selesai menjalani rawatan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata langkah itu dibuat berikutan kanak-kanak itu tidak boleh banyak bergerak akibat kecederaan di seluruh badan seperti retak rusuk kiri dan tulang belakang membengkok.

Katanya siasatan awal Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Jajajan Pasir Mas juga menemukan kesan patah yang hampir sembuh, beberapa kesan luka di kepala dan badanserta kesan puntung rokok pada kemaluan mangsa.

"JKM akan mengambil tindakan untuk perintah jagaan sementara kepada ibu kandung sekiranya bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika ini.

Menurut Rohani, JKM memberi perhatian serius terhadap kes itu dan akan menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan kepada ibu kandung mangsa bagi memastikan kanak-kanak itu dapat dijaga dengan sempurna.

Katanya hasil siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut telah bercerai pada 2013 dan kanak-kanak itu diletak di bawah jagaan bapa kandungnya.

Temubual bersama ibu kandung juga mendapati beliau hanya berjumpa kanak-kanak itu pada Ramadan tahun lalu dan ketika itu tiada kesan-kesan penderaan seperti yang dinyatakan.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim mengesahkan bapa kandung dan ibu tiri yang dipercayai mendera kanak-kanak perempuan itu ditahan di Jalan Bayam, Kota Baharu malam Ahad.

Katanya pasangan berusia 39 dan 25 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran pada pukul 9 malam oleh anggota Cawangan D9 dan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan direman selama empat hari bermula pada Isnin untuk siasatan lanjut.

penjagaan sementara, mangsa dera

Artikel Lain