suria

14 Ditahan Guna Laluan Haram Masuk Ke Singapura

JOHOR BAHRU: Seperti biasa, mereka menggunakan laluan haram di awal pagi untuk memintas kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor untuk ke tempat kerja mereka di Singapura.

Pergerakan mereka, bagaimanapun diperhatikan oleh 55 anggota Jabatan Imigresen negeri sebagai sebahagian daripada Ops Ikrar (Serkap) untuk memantau mereka yang keluar dari Malaysia secara haram.

"Apabila mereka menyedari kehadiran kami, mereka cuba melarikan diri tetapi kami berjaya menangkap mereka," katanya.

Dalam operasi bermula pukul 4.30 pagi  hingga 8 pagi yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor Zulkifli Abd Rahman, 14 lelaki termasuk seorang warga Singapura, telah ditahan.

Zulkifli berkata lelaki-lelaki terbabit, berusia sekitar 40-an berjalan secara berasingan di sepanjang jalan berhampiran landasan kereta api untuk menyelinap masuk ke seberang sempadan tanpa melalui CIQ Johor.

Mereka ditahan di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar di bawah Seksyen 5 (2) dan Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen.

"Kami ingin mengingatkan orang ramai yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja supaya menggunakan pintu masuk dan keluar yang dibenarkan kerana menggunakan laluan tidak sah merupakan kesalahan yang serius.

"Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen," kata Zulkifli, sambil menambah mereka akan terus memantau situasi itu bagi mengelakkan orang ramai daripada meninggalkan Malaysia secara haram.

Beliau juga berkata bahawa operasi itu adalah yang kedua selepas The Star melaporkan pada 25 Jun bahawa beberapa rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura telah memintas CIQ Johor melalui laluan itu memandangkan pasport Malaysia adalah berasaskan elektronik dan tidak perlu dicop.
CIQ Johor, laluan haram

Artikel Lain