suria

MIC Utamakan Pemilihan Semula, Bukan Wakil Parti Dalam Kabinet

JOHOR BAHRU: MIC kini memberi keutamaan untuk menyelesaikan proses pemilihan semula parti itu sebelum Oktober ini dan tidak memikirkan wakil parti itu dalam barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr Subramaniam menegaskan parti itu mahu menyelesaikan krisis dalaman parti itu dan memulihkan kembali keadaan parti seperti sedia kala.

"Cabaran utama kita kini adalah mengadakan pemilihan semula parti secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Cemerlang ke-19 MIC Bahagian Gelang Patah di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah di Skudai, dekat sini, malam Jumaat.

Mengenai kenyataan Najib bahawa kedudukan Datuk Seri G. Palanivel dalam Kabinet akan ditentukan kemudian selepas bekas presiden itu hilang keanggotaan dalam parti itu, Dr Subramanian berkata ia adalah prerogatif perdana menteri. 

"Bagi MIC, tujuan utama kami sekarang ialah menjalankan pemilihan semula dengan secepat mungkin," kata Menteri Kesihatan itu.

Pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu negara, petang tadi, Najib berkata nasib Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar akan ditentukan kemudian berikutan kehilangan keanggotaannya dalam MIC seperti yang disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Najib berkata, sebagai ketua kerajaan, beliau perlu akur dengan keputusan RoS bahawa Palanivel bukan lagi ahli MIC.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Sothinathan bahawa pihak tertentu telah memanipulasi kandungan surat yang dihantar kepada RoS sehingga menyebabkan Palanivel kehilangan keanggotaannya, Dr Subramaniam berkata dakwaan itu tidak benar.

"RoS adalah sebuah organisasi kerajaan yang mempunyai undang-undang sendiri dan jabatan guamannya sebelum membuat keputusan. Mereka tidak semudah membuat keputusan tanpa melalui proses undang-undang dan peraturan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, MIC telah menetapkan tarikh bagi pemilihan semula di peringkat cawangan selama tiga hari bermula 17 Julai ini manakala pencalonan akan bermula 10 hingga 12 Julai ini.

MIC, Palanivel, Subramaniam

Artikel Berikut

Artikel Lain