suria

MT Umno Kesal Spekulasi Berlebihan Terhadap 1MDB

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan melahirkan rasa kesal terhadap pihak yang membuat spekulasi berlebihan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abdul Rahman yang juga Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, terdapat pihak yang menggunakan laporan daripada portal Sarawak Report dan membuat spekulasi berlebihan mengenai isu 1MDB tanpa mengetahui asas kebenarannya. 

"Saya percaya banyak lagi bukti menunjukkan bahawa Sarawak Report memalsukan maklumat dan menggunakan pendekatan tidak beretika bagi tujuan memburukkan kepimpinan kita," katanya sebagai reaksi terhadap Mesyuarat MT Umno yang berlangsung di Menara Dato Onn di sini, Jumaat.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media selepas mesyuarat itu berkata, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas portal berkenaan selepas mendapat laporan siasatan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand dalam masa terdekat.

Seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Justo yang didakwa mempunyai hubung kait dengan penyebaran maklumat tidak tepat mengenai 1MDB dapat membuka mata masyarakat. 

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, rakyat perlu mencari kesahihan sesuatu berita yang disiarkan dalam internet sebelum membuat sebarang rumusan. 

"Kami juga sedang mengumpul maklumat individu yang menyebarkan maklumat palsu berkenaan 1MDB di laman-laman sosial untuk sebarang siasatan," katanya.  

Rabu lepas akhbar melaporkan Polis Thailand menahan lelaki itu dan mendakwanya atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi yang terkenal di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin dengan syarikat 1MDB.

Sementara itu, Datuk Bung Moktar Radin berharap Umno dapat memperkukuh saf kepimpinannya demi kemajuan negara. 

Katanya, isu persepsi rakyat perlu ditangani parti itu supaya masyarakat tidak terus mempercayai tuduhan yang dilemparkan kepada Umno oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. - BERNAMA

1MDB

Artikel Lain