suria

Kontroversi Mara: Kerajaan Bersikap Telus - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersikap telus dan mahu isu pembelian bangunan oleh Mara Incorporated Sdn.Bhd. di Melbourne, Australia disiasat secara menyeluruh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita mahu soal ini disiasat sepenuhnya. Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya. Kita mahu perkara ini disiasat dan dibuat penentuan oleh pihak berkuasa.

"Ini supaya tidak timbul keraguan dalam siasatan dan kesimpulan siasatan," kata Najib, yang juga Presiden UMNO, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Jumaat.

Akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University.

Najib turut ditanya mengenai tindakan kerajaan ke atas Sarawak Report yang dikatakan menerima dan melaporkan maklumat daripada bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd., Xavier Justo yang kini ditahan di Thailand.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas mendapat laporan siasatan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand dalam masa terdekat.

Pada Rabu lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya dimaklumkan Justo merupakan individu yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat tidak tepat kepada blog Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Kita mesti tunggu apa dia laporan dan pengesahan pihak berkuasa Thailand.

Saya difahamkan polis Thailand akan memaklumkan kepada polis Malaysia dalam sedikit masa lagi.

"Kalau kita dapat tahu apa-apa pengakuan yang dibuat, bukti-bukti jelas oleh kerajaan Thailand bagi pihak polis mereka, kerajaan Malaysia akan buat keputusan sewajarnya nanti.

"Saya tidak mahu mendahului laporan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand.

Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri pun sedang menunggu laporan yang bakal diterima dari Thailand," kata Najib.

Beberapa akhbar pada Rabu lepas melaporkan Justo ditahan polis Thailand atas tuduhan memeras ugut PetroSaudi, seperti yang dilaporkan media Thailand dan syarikat itu.

PetroSaudi, syarikat antarabangsa industri minyak dan gas yang berpangkalan di Arab Saudi itu, mendapat perhatian di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalankan dengan 1MDB.

Najib turut tidak menafikan penglibatan orang dalam berkaitan kontroversi tersebut : "Mana kita tahu. Mungkin ada," katanya.

Mara, Kerajaan

Artikel Lain