suria

Sistem Insentif Berdasarkan Prestasi Bagi PKS Seawal 2016 - Najib

Najib semasa sidang media selepas Mesyuarat Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan ke 18 di Bangunan Perbendaharaan pada Khamis. Turut hadir Hafsah Hashim (kanan). - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan insentif berdasarkan prestasi bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seawal 2016 bagi memperkukuhkan pertumbuhan industri itu di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara cadangan insentif berdasarkan prestasi bagi PKS termasuk pengecualian cukai, rebat perbelanjaan pengangkutan dan pinjaman bank.

Beliau berkata kerajaan akan menggubal insentif berdasarkan prestasi yang mengaitkan kriteria kepada soal pertumbuhan berdasarkan produktiviti, nilai eksport dan pekerjaan.

"Ini semua (insentif) masih dalam peringkat cadangan. Banyak isu perlu dilihat, termasuk keperluannya. Kita akan tanganinya dengan cara yang menyeluruh. Kita boleh mengharapkan satu insentif yang lebih baik bagi PKS mulai 2016," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan Ke-18 di Kementerian Kewangan di sini Khamis.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim. 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pertumbuhan PKS mesti berdasarkan produktiviti dan inovasi berbanding berbanding input buruh asing yang murah.

"Ini akan dilihat semula supaya pertumbuhan PKS lebih mirip kepada penggunaan teknologi dan proses perniagaan yang boleh membawa kepada meningkatkan produktiviti," katanya.

Najib berkata KDNK PKS telah mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dan luar biasa iaitu sebanyak 13.6 peratus pada tahun lepas.

Beliau berkata pertumbuhan itu disebabkan dua faktor iaitu permintaan domestik yang terus kukuh dan kesan daripada semakan semula definisi PKS yang berkuat kuasa pada Januari tahun lepas yang menyebabkan kira-kira 8,000 syarikat bersaiz besar dikategorikan sebagai PKS.

"Pertumbuhan KDNK PKS dijangka terus mampan dalam lingkungan enam hingga tujuh peratus pada tahun ini," katanya. 

Najib berkata sumbangan PKS kepada KDNK telah meningkat daripada 29.4 peratus pada tahun 2005 kepada 35.9 peratus pada tahun lepas. 

"Sasaran KDNK PKS kekal pada 41 peratus menjelang 2020. Sehubungan itu, pertumbuhan PKS akan terus diberi suntikan dan galakan oleh kerajaan bagi mencapai sasaran tersebut," katanya.

Najib berkata Majlis PKS Kebangsaan juga berharap lebih banyak PKS berorentasikan eksport memanfaatkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). 

"Kewujudan AEC perlu diberi perhatian dan dieksploitasi PKS supaya lebih banyak PKS terlibat dalam bidang pengeksportan. 

"Kini, sumbangan PKS kepada eksport pada kadar 17 peratus dan kita mahu ia meningkat kepada 23 peratus menjelang 2020," kata beliau.

sistem insentif, PKS, Najib Tun Razak

Artikel Lain