suria

Kerajaan Pertimbang Wujud Akta Baharu Banteras Lanun - Shahidan

Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan satu akta baharu bagi membanteras kegiatan lanun dan rompakan di kawasan sempadan perairan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata selain daripada penggubalan undang-undang berkaitan, usaha menambah baik tahap keselamatan di perairan dan menangani pencerobohan di sempadan perlu ditingkatkan.

"Penambahan aset dan kemudahan teknologi juga perlu diberi perhatian, terutamanya aset udara bagi menampung kawalan keselamatan di kawasan yang lebih luas di Laut China Selatan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Khamis.

Katanya usaha itu perlu dipercepatkan memandangkan Laut China Selatan menjadi kawasan 'panas' kerana mempunyai banyak pulau untuk lanun-lanun bersembunyi.

"Selat Melaka yang dahulunya menjadi tumpuan kegiatan lanun telah berjaya ditumpaskan dan kini lanun-lanun telah mengalihkan perhatian ke perairan Laut China Selatan terutamanya sempadan Malaysia-Singapura-Indonesia," katanya.

Usaha untuk meningkatkan standard kawalan di sempadan negara perlu dipertingkatkan susulan beberapa insiden antaranya rampasan kapal MT Orkim Harmony baru-baru ini.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal itu berjaya dikesan pada 18 Jun lalu di perairan Kemboja dan lapan suspek ditahan pihak berkuasa Vietnam, berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada 19 Jun.

Artikel Lain