suria

PAS Selangor Sedia Duduk Bincang Dengan DAP

Iskandar Abdul Samad.

SHAH ALAM: PAS Selangor bersedia untuk duduk berbincang dengan pemimpin DAP bagi menyelesaikan isu-isu yang masih tertangguh jika pihak ketiga sanggup mengatur mesyuarat berkenaan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata pihak ketiga itu boleh jadi sesiapa sahaja yang ingin membantu atau pemimpin tertinggi kedua-dua pihak.

"Seseorang perlu memulakan mesyuarat dan jika ini dilakukan, kami sedia untuk bertemu bagi berbincang dengan DAP Selangor," kata Iskandar ketika ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, Khamis.

Beliau berkata, adalah penting untuk semua rakan Pakatan Rakyat bekerjasama di Selangor untuk memastikan kelancaran pentadbiran di negeri itu.

PAS dan DAP masing-masing tersepit dalam pertelagahan yang tidak berkesudahan disebabkan tindakan parti Islam itu tetap ingin melaksanakan hukum hudud tanpa mengira pandangan sekutunya.

Lebih teruk lagi, Majlis Ulama PAS turut memutuskan hubungan dengan DAP pada persidangan Muktamar PAS awal bulan ini.

Menurut Iskandar, wakil DAP dan PAS di negeri itu perlu bekerjasama kerana mereka mempunyai banyak tanggungjawab untuk dilaksanakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Rabu mengarahkan semua ahli exco Selangor dan wakil rakyat untuk 'mempertahankan' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan pentadbirannya.

PAS, DAP, bincang

Artikel Lain