suria

Kemeriahan Baharu Di Bazar 'Food Truck' Menjelang Iftar

AMPANG: Bazar berkonsep baharu kini muncul di ibu kota bagi mewujudkan suasana lebih selesa, tersusun dan mencetuskan kemeriahan berganda kepada pelanggan sepanjang Ramadan.

Tiada lagi payung beraneka warna atau meja untuk mempamerkan juadah berbuka, konsep baharu yang diperkenalkan ini lebih moden, kemas dan bersistematik dengan peniaga berhimpun di satu lokasi dan menjual makanan menggunakan food truck atau trak makanan.

Mungkin konsep perniagaan baharu seperti ini agak sukar diterima orang ramai yang biasa dengan suasana hiruk-pikuk bazar, namun bagi yang inginkan kelainan, bazar food truck ini adalah pilihan tepat!



Dibuka di kawasan letak kereta di pasar raya Tesco, Ampang, Ramadan kali ini menyaksikan kira-kira 15 trak makanan yang dihias kreatif diparkir rapi, menandakan ia sudah bersedia menyambut kehadiran tetamunya.

Pertengahan Ramadan, bazar yang dibuka bermula pukul 4 petang ini akan bergerak ke cawangan pasar raya sama di Shah Alam sebelum bertemu pengunjungnya di Kepong, seminggu sebelum berakhirnya bulan puasa.

Berkunjung ke bazar ini, urusan jual-beli gaya baharu dapat dilihat di mana penjual  berada di atas trak untuk menyediakan makanan, manakala pelanggan akan membuat pesanan dari luar trak. Nampak agak janggal, tetapi sebenarnya ia lebih teratur dan praktikal.



Antara yang dijual termasuk pizza, roti ban, bebola daging, burger, ayam goreng dan aneka minuman. ‘Coconut shake’ pun ada!

Sambil berbelanja, pengunjung akan dihiburkan dengan lagu yang dipasang di salah sebuah trak bagi membangkitkan situasi meriahnya yang tersendiri.

Malah, untuk tujuan promosi, ditawarkan pula hadiah menarik untuk pengunjung yang membeli sajian berbuka di sini.



Hazlami, 23, penjual pizza jenama tempatan, ‘Pizza Joe’ berkata, konsep perniagaan seperti ini cuba menawarkan persekitaran jual-beli yang berbeza dengan apa yang telah wujud setiap kali tibanya Ramadan di negara ini.

“Memang kita berdepan saingan daripada bazar Ramadan. Orang ramai masih tidak biasa dengan konsep ini, tetapi selepas beberapa hari mencuba nasib, saya dapati sambutan semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya yang sebelum ini menjalankan perniagaan di Balakong.

Hazlami menyediakan pizza yang dipesan pelanggan dari dalam trak.

Katanya, selain unik, konsep jualan seperti ini juga lebih kemas dan mudah tanpa pelanggan perlu bersesak-sesak untuk membeli setelah seharian penat berpuasa.

“Yang pasti ia lebih bersih dan ‘segar’ kerana kebanyakan peniaga di sini mempunyai dapur khas di mana makanan akan dimasak hanya selepas dipesan pelanggan,” katanya.

Kamsul Mohd Razali, 39, yang menjual bebola daging ‘Meatball Kingdom’ dan aneka menu dari Eropah berkata, kebanyakan pelanggan adalah mereka yang mahukan kelainan dari segi menu berbuka dan lokasi membeli.

“Kebanyakan sajian yang dijual di sini agak sukar didapati di bazar biasa kerana ia lebih berciri ‘barat’.

“Menariknya, harga yang ditawarkan adalah berpatutan,” katanya yang turut menjual pasta dan makanan lain yang dimasak menggunakan resipi khas dari Jerman.



Peniaga ‘coconut shake’ , Aliza, 32, pula memilih untuk berniaga menggunakan food truck kerana mahu memperkenalkan konsep jual-beli baharu ini kerana ia memberi kemudahan dan manfaat kepada peniaga serta pembeli.



“Kami tak boleh berniaga sesuka hati apabila berniaga dengan trak. Perlu ada kawasan khas dan trak perlu diletakkan dengan sempurna di lokasi selamat dan dibenarkan.

“Untuk Ramadan kali ini mungkin ia masih baru tetapi saya yakin jualan seperti ini akan lebih diterima ramai pada masa akan datang,” katanya yang turut menjual ‘banana shake’ dan ‘strawberry shake’.

Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui, Azli Huzaireen Mohd Razaffli, 36, memuji bazar berkonsep unik ini kerana ia kurang sesak dan menawarkan variasi kepada palanggan.

Azli Huzaireen


“Dengan wujudnya bisnes seperti ini, pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dari segi tempat untuk berbelanja dan sajian untuk berbuka,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain