suria

KTMB Tempatkan Polis Dalam Tren Pada Musim Perayaan

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menempatkan anggota polis berpakaian seragam dan biasa di dalam tren bagi memastikan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat itu pada musim perayaan ini.

Presiden KTMB Lt Kol (B) Sarbini Tijan berkata ia turut melibatkan anggota polis yang lengkap bersenjata, selain menempatkan anggota berpakaian seragam dan biasa di semua stesen dan kawasan strategik.

"Kita (KTMB) juga pantau keselamatan penumpang dengan memasang CCTV supaya nampak apa berlaku di stesen, jambatan dan di terowong di samping pemantauan secara konvensional di semua lokasi strategik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengedarkan 3,000 pek berbuka puasa kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, KTM Intercity dan ETS di KL Sentral di sini Khamis. 

Hadir sama Pengurus Kanan Pemasaran dan Hubungan Pelangan KTM Intercity, Mohd Noordin Kimi dan Pengurus Besar KTM Komuter Azshidah Shahari.

Sarbini berkata KTMB juga sedang menaik taraf perkhidmatan tren dengan memasang Sistem Pengesanan Global (GPS) pada 120 buah lokomotif yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini.

"Sekarang KTMB sedang memasang sistem GPS pada 50 lokomotif dan kita dapat memerhatikan dan juga mendapat maklumat tentang pergerakan semasa tren.

"Kita juga dapat maklumat siapa pemandu, di mana lokasinya, apa lajunya...semuanya kita tahu. Jadi, KTMB dapat mengawal pergerakan tren dengan lebih dekat serta apa yang berlaku di kawasan landasan dan stesen kita.

"Kelajuan sesebuah gerabak berkait rapat dengan keselamatan penumpang, jika ia lebih had laju, pusat kawalan akan tahu," katanya.

Dalam pada itu, Sarbini meminta orang ramai supaya melaporkan ke balai polis berdekatan atau kakitangan syarikat itu jika melihat perkara yang mencurigakan di semua stesen KTMB di seluruh negara.

KTMB, polis

Artikel Lain