suria

DBKL Bayar RM3 Untuk Seekor Tikus

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk meningkatkan ganjaran menangkap tikus kepada RM3 seekor dalam 'Kempen 1 Tikus 1 Ringgit'.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah berkata ia bagi memberi lebih motivasi kepada masyarakat dalam memenuhi sasaran DBKL untuk menangkap 50,000 ekor tikus setahun.

"Kami peruntukkan RM50,000 setahun untuk kempen ini namun peruntukan ini tidak pernah dihabiskan.

"Oleh itu aktiviti menangkap dan mengawal haiwan perosak ini perlukan kerjasama dan sokongan anggota masyarakat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahun lepas DBKL mengumpul 10,498 ekor tikus yang diserahkan orang ramai, namun jumlah itu masih di bawah sasaran 50,000 ekor yang ditetapkan.

Dr Hayati berkata orang awam boleh menjana pendapatan sampingan sehingga RM50 sehari hasil menangkap tikus.

Kempen '1 Tikus 1 Ringgit' mula dijalankan pada 2008.

Bernama sebelum ini melaporkan lima pasar awam di sekitar Kuala Lumpur antaranya Pasar Borong Selayang dan Pasar Chow Kit semakin kritikal dengan pembiakan tikus yang dikhuatiri boleh membawa penyakit seperti leptospirosis atau kencing tikus.

Tiga lagi pasar ialah Pasar Pudu, Pasar Sentul dan Pasar Keramat.

Menurut Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKL, dalam tempoh sebulan pihaknya berjaya menangkap kira-kira 6,000 ekor tikus di kelima-lima pasar tersebut dengan purata tangkapan sehari mencecah sehingga 50 ekor di setiap pasar itu.
tikus, DBKL, Kempen 1 Tikus 1 Ringgit

Artikel Lain