suria

Waktu Operasi Pusat Hiburan Di Kuantan Kembali Normal

KUANTAN: Arahan supaya perniagaan pusat-pusat hiburan di sini ditutup lebih awal telah dibatalkan.

Langkah tersebut, yang diarahkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan mengkehendaki premis-premis ditutup pada pukul 11.30 malam selama satu bulan.

Dalam mesyuarat tergempar pada Isnin di antara tujuh ahli majlis MCA dan Presiden Majlis Perbandaran Kuantan Datuk Zulkifli Yaacob, penyelesaian secara baik telah dicapai.

Ahli Majlis Datuk David Lee yang mengetuai kumpulan itu berkata majlis telah bersetuju agar premis hiburan ditutup pada pukul 1 pagi setiap hari dan pukul 2 pagi, pada Sabtu.


Lee berkata umat Islam bagaimanapun dihalang daripada memasuki premis ini bermula pukul 11 malam ke atas.

"Suatu notis standard mesti dipaparkan bagi memberitahu semua penganut agama Islam tentang perkara ini.

"Jika pegawai penguatkuasa menemui pengunjung Islam di dalam, lesen operasi akan digantung," katanya pada sidang akhbar.

Lee berkata garis panduan itu diperkenalkan pada tahun ini oleh Jabatan Pelesenan majlis selepas menerima aduan orang ramai.

Ia akan menjejaskan beratus-ratus pusat hiburan seperti kafe siber, pusat karaoke, pusat snuker dan rumah urut.

Ditanya mengapa ahli majlis tidak membangkitkan bantahan terhadap langkah itu sebelum ini, Lee berkata perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat dalaman dan mereka tidak dirujuk.

Mesyuarat pengurusan oleh Majlis itu pada 17 Jun telah memutuskan untuk menutup semua pusat hiburan selama satu bulan pada pukul 11.30 malam di antara 19 Jun dan 18 Julai sebagai tanda menghormati bulan Ramadan.

Lee berkata pujian "harus diberikan kepada presiden majlis kerana mendengar rungutan rakyat dan membuat keputusan yang tepat".

Artikel Lain