suria

Ketua Hakim Syarie Selangor Terima Watikah Pelantikan

Dr Mohd Na'im Mokhtar.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na'im Mokhtar di Istana Bukit Kayangan di sini Isnin.

Mohd Na'im, 48, dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 21 Mei lepas dan perlantikan itu menjadikan beliau sebagai Ketua Hakim Syarie termuda di negara ini.

Turut menerima watikah perlantikan daripada baginda ialah Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mukhyuddin Ibrahim, 57, yang dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa pada Isnin.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 14 Hakim Mahkamah Rendah Syariah, 13 Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, lima Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah dan 19 Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam (Wali Raja).

Majlis pelantikan itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim. 

Artikel Lain