suria

Dua Kereta Mewah Bernilai RM800,000 Yang Hilang Dijumpai

Yahaya (kanan) menunjukan dua buah kereta mewah yang dipercayai dicuri ketika sidang media mengenai kes kecurian kenderaan mewah di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada Isnin. - fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Dua buah kereta mewah bernilai RM800,000, milik seorang ahli peniagaan yang dilaporkan dicuri di Taman Subang Height pada 19 Jun lepas, ditemui semula di sebuah hotel di Pandamaran, Klang pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahya Ramli berkata kereta jenis Audi Q7 dan Bentley itu dijumpai di tingkat berlainan dalam premis yang sama dan ia dipercayai dilakukan oleh sindiket terancang.

"Kereta terbabit dijumpai di tingkat dua dan tiga dalam bangunan terbabit dan kami tidak menolak, sindiket ini mempunyai kumpulan yang bertanggungjawab untuk mencuri dan meletakkan kenderaan itu di sesuatu kawasan.

"Juga ada satu kumpulan lagi ditugaskan untuk melupuskan kenderaan seperti memasukkan kenderaan ke dalam kontena sebelum dieksport ke luar negara," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi sindiket itu untuk melarikan  kedua-dua kereta terbabit, katanya suspek masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil tingkap bilik di tingkat bawah dan mengambil kunci kereta terbabit di bilik mangsa di tingkat dua dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu.

Katanya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa telah merakamkan imej dua suspek lelaki yang terlibat dalam kes curi dan polis percaya kes ini melibatkan lebih daripada empat orang suspek.


Yahya juga berkata kereta yang dilaporkan hilang itu berjaya dikesan melalui sistem kedudukan sejagat (GPS) yang dipasang di dalam kereta berkenaan kira-kira 6.30 pagi hari yang sama.

"Sepasukan anggota telah ditempatkan di bangunan terbabit dan hasil permantauan selama lima jam, sindiket terbabit seolah-olah sedar akan kehadiran anggota polis dan suspek tidak mengambil kereta itu. Kami mengambil keputusan membawa balik kereta terbabit pada pukul 11.30 pagi pada hari yang sama ia dilaporkan hilang," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang kontraktor kerugian RM95,000 setelah dua buah keretanya iaitu jenis Chevrolet Cruze dan Suzuki Swift yang diletakkan di hadapan rumahnya di USJ 11, Subang Jaya dilarikan penjenayah.

"Penjenayah telah memecah masuk rumah mangsa dengan memotong mangga pintu jeriji dan masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci lalu mangambil kunci kereta terbabit. Mangsa menyedari kereta terbabit telah tiada pukul 7 pagi ini setelah mendapati pintu rumah utama telah terbuka luas," kata Yahya.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah rumah dan curi kenderaan. 

Sehingga kini, tiada tangkapan yang dibuat dan pihak polis masih menjalankan siasatan.

Artikel Lain